TMIYC ISKANDAR PUTERI 89 PERATUS SIAP

YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor pada Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor (OMJ) Johor Bahru dan Majlis Riang Ria Rumah Terbuka Terlajak Raya Aidilfitri DUN Larkin. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru – Projek pembangunan pusat sehenti Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri kini mencatatkan tahap kemajuan fizikal sebanyak 89 peratus siap, setakat hari ini.

 

Projek berimpak tinggi yang merupakan cetusan ilham dan visi jelas DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor ini dijangka siap mengikut tempoh yang telah jadualkan dan ia juga bakal menjadi satu lagi mercu tanda penting dalam usaha pembangunan belia di Negeri Johor.

 

Bagi tujuan itu, Kerajaan Johor akan sentiasa membuat pemantauan rapi dan berterusan bagi memastikan projek TMIYC Iskandar Puteri ini akan dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan, seiring dengan satu lagi projek TMIYC di Pasir Gudang supaya garis masa kedua-dua projek pembangunan ini dapat dilaksana dan disiapkan secara selari.

 

Selain itu, Kerajaan Johor juga optimis untuk memastikan projek TMIYC ini juga akan dapat diperluaskan ke setiap kawasan yang berpotensi di seluruh negeri ini bagi memastikan semua anak muda di Johor akan mendapat akses yang menyeluruh kepada setiap kemudahan serta ruang pembangunan diri yang disediakan khas untuk Orang Muda Johor.

 

Bagi memastikan keberkesanan inisiatif ini, satu Taskforce TMIYC turut digerakkan bagi memastikan fungsi pusat sehenti tersebut dapat digunakan secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat khususnya golongan belia, selain ia juga akan dilaksanakan dengan kerjasama daripada pelbagai pihak berkepentingan lain termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

 

Terdahulu, YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor hadir dalam Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor (OMJ) Johor Bahru dan Majlis Riang Ria Rumah Terbuka Terlajak Raya Aidilfitri DUN Larkin di Stadium Tertutup Arena Larkin.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor