TMJ BERKENAN MELANCARKAN MEDIA DIGITAL JOHOR


DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkenan melancarkan Media Digital Johor / Foto : MDJ

Oleh Mohd Firdaus Yon

ISKANDAR PUTERI — DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Media Digital Johor (MDJ) di Sunway Big Box, di sini, hari ini.

Turut mengiringi Baginda, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan isteri; Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani dan isteri; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor; Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Dato’ Amir Nasruddin serta Pegawai Kewangan Negeri Johor, Dato’ Haji Salehuddin Hassan.

Selain itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Dato’ Mohd Noh Ibrahim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Dato’ Mohammed Ridha Abd. Kadir; Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan peringkat Negeri dan Persekutuan serta kumpulan Pengendali Media Sosial (PMS).

Pada majlis tersebut, Tunku Ismail berkenan untuk menyempurnakan pelancaran MDJ dan menyaksikan simbolik penyerahan watikah 256 PMS (Jabatan dan Agensi) antara Menteri Besar Johor kepada Setiausaha Kerajaan Johor.

MDJ berperanan sebagai medium penyampaian maklumat rasmi secara digital yang sahih, tepat dan pantas berkaitan dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri kepada rakyat Johor sekali gus penubuhannya selari dengan peralihan ke arah komunikasi digital atau media sosial.

Oleh itu, sebaran maklumat yang telus dapat disebar luas menerusi platform media sosial, termasuk Facebook, Instagram, Twitter, YouTube dan TikTok.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor