MDJ BERPERANAN SEBAGAI PUSAT HEBAHAN


DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkenan menyaksikan simbolik penyerahan watikah Pengendali Media Sosial (PMS) Negeri Johor antara YAB Datuk Onn Hafiz Bin Ghazi kepada YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Bin Rohani / Foto : MDJ

Oleh Mohd Firdaus Yon

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggariskan peranan Media Digital Johor (MDJ) bagi mencapai matlamat dan hala tuju penubuhannya.

Menurut beliau, peranan MDJ adalah sebagai pusat hebahan yang mengurus dan menyelaras perkongsian maklumat berkaitan hebahan dasar, inisiatif serta program rasmi kerajaan negeri termasuk rakyat dan Negeri Johor menerusi platform media sosial.

“MDJ juga akan menangkis penularan berita palsu dan membentuk persepsi positif tentang Negeri Johor. Selain itu, MDJ juga akan memastikan hala tuju pengurusan perlindungan maklumat kerajaan di media sosial,” katanya dalam ucapan digital pada Majlis Pelancaran MDJ di Sunway Big Box, di sini.

Pelancaran MDJ telah disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim. Turut berangkat mengiringi Baginda, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor; Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Dato’ Amir Nasruddin; Pegawai Kewangan Negeri Johor, Dato’ Haji Salehuddin Hassan; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Dato’ Mohd Noh Ibrahim serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Dato’ Mohammed Ridha Abd. Kadir.

Selain itu, Onn Hafiz berkata, MDJ juga menjadi platform perkongsian serta menyebar luas kisah-kisah kejayaan negeri Johor yang perlu diketahui rakyat.

“Sebagai contoh, kejayaan berhubung pencapaian negeri Johor meraih pelaburan sebanyak RM60.9 bilion dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

“Isu perumahan juga penting dan rakyat perlu maklum dengan perkembangan terkini usaha kerajaan menyediakan kediaman mampu milik untuk setiap lapisan masyarakat.

“Dan ada pelbagai lagi isu dan maklumat yang tidak kurang pentingnya kepada rakyat yang perlu disampaikan kepada mereka,” katanya.

Dengan dapatan lebih 11 juta pengikut di platform media sosial jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta Institusi Diraja Johor, beliau pasti MDJ mampu memperluaskan lagi hebahan positif mengenai Negeri Johor.

“Lebih-lebih lagi dengan melibatkan kerjasama rentas jabatan dan agensi bagi memastikan maklumat dan berita disampaikan dengan cepat dan tepat.

“Adalah menjadi harapan saya agar MDJ akan memanfaatkan segala platform media sosial sedia ada seperti Facebook, Instagram, Twitter, TikTok serta Snapchat yang sentiasa dilayari oleh masyarakat terutamanya anak-anak muda kita,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor