TRANSFORMASI KUYPJ PERKUKUH EKOSISTEM PENDIDIKAN TINGGI JOHOR

KUYPJ kini melalui transformasi menyeluruh bagi memperkukuh kualiti institusi dengan sokongan peruntukan RM3.8 juta daripada Kerajaan Negeri. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Kolej Universiti Yayasan Pelajaran Johor (KUYPJ) melaksanakan fasa transformasi menyeluruh bagi memperkukuh kualiti institusi pendidikan tinggi berkenaan menerusi peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM3.8 juta.
Peruntukan tersebut disalurkan bagi pelaksanaan projek naik taraf fasiliti Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan (SHP) melibatkan pembangunan ‘smart classroom’, ruang latihan serta kemudahan berkaitan yang dilaksanakan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) dan dijangka siap sepenuhnya sebelum Mac ini.
Selain itu, KUYPJ akan menubuhkan ‘Desaru Coast Center of Excellence’ pada suku kedua 2026 bagi menyediakan platform pembelajaran dan penyelidikan bertaraf tinggi sekali gus memperkukuh kepakaran khusus selaras dengan keperluan industri.
Melalui kerjasama bersama Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), KUYPJ turut menjalinkan kolaborasi dengan 176 syarikat di Johor bagi memperkasa kebolehpasaran graduan seiring dengan pertumbuhan ekonomi negeri terutama menerusi inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Bagi melonjakkan lagi usaha transformasi KUYPJ, sebanyak RM4 juta peruntukan tambahan disalurkan oleh Kerajaan Negeri bagi tahun 2026 untuk kerja-kerja naik taraf infrastruktur dengan fokus kepada pemerkasaan digitalisasi, termasuk pengukuhan platform ‘e-learning’ dan kemudahan sokongan pembelajaran berasaskan teknologi.
KUYPJ turut memperluas akses pendidikan tinggi menerusi penawaran program akademik dan kursus baharu antaranya Ijazah Sarjana Muda Perkhidmatan Makanan, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Aset dan Fasiliti.
Komitmen tersebut mencerminkan iltizam KUYPJ dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi berkualiti terus diperkasa selari dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkasa modal insan bagi memastikan graduan Johor mampu memenuhi keperluan pasaran kerja masa hadapan.
#JohorSafeZone
#KUYPJ
#KPYPJ
#PendidikanBerkualiti
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



