UEM SUNRISE SEDIA MAIN PERANAN JAYAKAN JS-SEZ


Gambar hiasan.

 

#IskandarPuteri – Johor berada di landasan tepat untuk muncul sebagai enjin pertumbuhan ekonomi utama negara terutama menerusi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang berupaya merangsang pertumbuhan dan mentransformasi landskap hartanah serta perumahan di rantau ini.

 

Bakal menjadi hab ekonomi baharu, JS-SEZ diyakini berpotensi memperkukuh hubungan ekonomi Johor dan Singapura, membuka peluang pelaburan domestik dan antarabangsa, menarik pelbagai sektor dan industri, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan serta menyediakan infrastruktur bertaraf dunia.

 

Mempunyai pengalaman membangunkan masyarakat mampan dan bersepadu di Iskandar Puteri, UEM Sunrise Bhd. bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan Johor menerusi tumpuan terhadap perumahan serta bangunan komersial selaras dengan keperluan yang semakin berkembang daripada komuniti perniagaan dan penduduk.

 

Anak syarikat UEM Group Berhad itu juga komited memainkan peranan utama melonjak pertumbuhan ekonomi negeri malah berkeyakinan JS-SEZ mampu membawa manfaat besar kepada rakyat, perniagaan dan ekonomi seterusnya membentuk masa depan Johor yang lebih cerah, dinamik serta lestari.

 

Untuk rekod, UEM Sunrise Bhd. berjaya mencapai kadar pengambilan 100 peratus yang mengagumkan semasa previu tiga projek terbaharunya di Iskandar Puteri membabitkan Aspira Hills (Fasa 1), DiReka Square dan Aspira LakeHomes (Fasa 4, 5 dan 6) dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan sebanyak RM499 juta.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor