UiTM CAWANGAN JOHOR KAMPUS PASIR GUDANG, MRTS JALIN KERJASAMA

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir Majlis Inisiatif Program Pembangunan Modal Insan kepada Universiti Teknologi MARA, UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang di Perpustakaan Tun Dr. Ismail, UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#PasirGudang – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang menjalinkan kerjasama dengan Malaysia Rapid Transit System Sdn. Bhd (MRTS) untuk menjayakan inisiatif Program Pembangunan Modal Insan bagi melahirkan graduan berkualiti tinggi.
Menerusi kerjasama berkenaan, MRTS telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM180,000 bagi penyediaan peralatan berteknologi tinggi seperti 10 unit komputer, pencetak, pengimbas 3D, skrin LED untuk ruang majlis dan sistem pembesar suara.
Sumbangan tersebut membantu ke arah pemantapan prasarana pembelajaran dan memperkukuh kemudahan sedia ada sekali gus membawa impak besar terhadap pembangunan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) khususnya di kampus berkenaan.
Kerjasama itu juga selaras dengan agenda Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dalam aspek pembangunan kemahiran bersesuaian dengan keperluan industri semasa untuk mempersiapkan pelajar sebelum memasuki pasaran pekerjaan.
Pada majlis sama, turut berlangsung pelantikan YBhg. Ir. Zulkifli Mohamed, Pengarah Projek Rapid Transit System (RTS) Link, MRTS sebagai Profesor Adjung bagi mempererat kerjasama antara industri dan universiti demi pembangunan modal insan negara.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir Majlis Inisiatif Program Pembangunan Modal Insan kepada Universiti Teknologi MARA, UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang di Perpustakaan Tun Dr. Ismail, UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang, hari ini.
Hadir sama, YBrs. Prof. Madya Dr. Saunah Zainon, Menjalankan Fungsi Rektor, UiTM Cawangan Johor dan YBrs. Dr. Siti Khadijah Alias, Penolong Rektor, UiTM Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang.
#JTDC
#UiTMPasirGudang
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor