UNI-NATURE RUN @ SEGAMAT 4.0 – PATRIOTISM RUN4UNITY PERKUKUH JATI DIRI MAHASISWA UiTM SEGAMAT

Kira-kira 5,000 peserta memeriahkan Uni-Nature Run @ Segamat 4.0 dan RUN4UNITY sebagai usaha menyemai semangat patriotisme dan jati diri dalam kalangan mahasiswa IPT. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#Segamat- Seramai 5,000 peserta menyertai larian Uni-Nature Run @ Segamat 4.0 dan Patriotism Run For Unity (RUN4UNITY) yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Komander Kesatria (MPKK) Batalion VI bersama Unit Kesatria dan Kokurikulum serta Persatuan Briged Sukarelawan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat bagi memupuk nilai jati diri dan semangat patriotisma dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan.
Program larian yang bermula sejak tahun 2019 itu kini memasuki siri keempat penganjurannya dan ia bukan sahaja melibatkan mahasiswa, malah turut disertai beberapa pelari bertaraf bintang dari dalam dan luar negara. Mereka termasuk penyertaan pelari dari Kenya dan Singapura serta beberapa negeri lain seperti Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Perak.
Program larian ini juga bertujuan untuk mengangkat simbol penyatuan dan semangat kebersamaan melalui pelaksanaan program patriotisme peringkat UiTM di seluruh Malaysia, sekali gus memperkukuh semangat kenegaraan dan jati diri dalam kalangan warga universiti.
Program larian kali ini membabitkan tiga kategori iaitu 12 kilometer (KM) bagi lelaki dan perempuan terbuka, 6 KM bagi lelaki dan perempuan terbuka serta 3 KM bagi acara ‘Fun Run’ yang disertai oleh pelbagai lapisan peringkat umur.
Terdahulu, YBhg. Profesor Dr Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Uni-Nature Run @ Segamat 4.0 – Patriotism Run For Unity (RUN4UNITY) di Padang Kawad UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat.
Turut hadir ialah YBrs. Prof. Madya Dr Saunah Zainon, Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat; YBrs. Tuan Irwan Ismail, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat serta Dr. Faridah Najuna Misman, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat.
#JohorSafeZone
#RUN4UNITY
#UiTMSegamat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



