USAHA AGRITECH MEMPERLUAS KAEDAH PERTANIAN PINTAR BERTERASKAN IOT

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menyempurnakan Majlis Pelancaran Ladang Usaha Agritech – Ladang Sayuran Berbuah Secara Fertigasi Menggunakan Inovasi Polibeg Bantal di Taman Impian Emas, Skudai, Johor Bahru. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru- Komitmen Kerajaan Negeri melalui Usaha Agritech Sdn. Bhd yakin dapat memperluas kaedah pertanian pintar berteraskan Internet of Things (IoT), sekali gus berupaya meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kelestarian sektor pertanian dengan fokus utama diberikan terhadap tanaman cili dan terung yang kini sedang diusahakan di ladang berkenaan.
Selain pelaksanaan kaedah pertanian Internet of Things (IoT), Usaha AgriTech Sdn. Bhd mengguna pakai kaedah fertigasi yang menggunakan inovasi polibeg bantal bagi meningkatkan lagi hasil pengeluaran tanaman di ladang yang berkeluasan 15 ekar berkenaan.
Usaha AgriTech Sdn. Bhd juga bakal menghasilkan benih hibrid yang dikenali sebagai ‘Benih Cili Johor’, sekali gus mencapai hasrat syarikat itu untuk menjadi pengeluar utama cili di negeri ini dengan sasaran pengeluaran antara 1 hingga 2 tan cili setiap hari.
Untuk rekod, nilai jualan sektor pertanian Negeri Johor pada tahun 2024 mencecah RM 27.2 bilion, sekali gus mencatat nilai tertinggi di peringkat nasional, selain nilao eksport hasil pertanian negeri ini juga merekodkan jumlah tertinggi dalam negara sebanyak RM 23.96 bilion.
Pencapaian ini menjadikan Johor sebagai antara pengeluar kedua tertinggi tanaman cili di Malaysia dengan jumlah pengeluaran sebanyak 8,621 metrik tan dan tanaman terung pula meletakkan Johor sebagai pengeluar utama negara dengan anggaran pengeluaran sekitar 14,295 metrik tan.
Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menyempurnakan Majlis Pelancaran Ladang Usaha Agritech – Ladang Sayuran Berbuah Secara Fertigasi Menggunakan Inovasi Polibeg Bantal di Taman Impian Emas, Skudai, Johor Bahru.
Turut hadir ialah YBhg. Tuan Haji Hasrin Kamal Hashim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP); YBrs. Tuan Haji Yosri Mohd, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor (JPNJ); YBrs. Dr. Azman Ismail, Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta YBrs. Encik Hamid Hamza, Pengarah Usaha Agritech Sdn. Bhd.
#JohorSafeZone
#JPNJ
#MARDI
#UsahaAgritech
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



