USAHA HOLISTIK PERKUKUH EKONOMI LUAR BANDAR JOHOR

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menjawab pertanyaan YB Puan Fauziah Misri, Ahli Dewan Negeri Johor kawasan Penawar berkaitan hala tuju Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekonomi luar bandar pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus komited memperkukuh usaha pembangunan ekonomi luar bandar menerusi pendekatan yang lebih holistik dan inklusif, seiring matlamat Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 yang menekankan pertumbuhan seimbang serta dinamik agar nikmat pembangunan dapat dirasai semua lapisan masyarakat.

 

Antara agensi yang memainkan peranan utama termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang setakat April lalu telah meluluskan pembiayaan perniagaan berjumlah RM10.78 juta, sekali gus membolehkan seramai 102 usahawan Bumiputera di Johor meningkatkan nilai hasil jualan produk mereka sehingga 30 peratus.

 

Selain itu, Kerajaan Johor melalui Jabatan Pertanian Negeri Johor juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta untuk memperkasa pembangunan usahawan industri asas tani (IAT) yang turut memanfaatkan usahawan luar bandar meliputi bantuan naik taraf bengkel pemprosesan makanan, bantuan peralatan atau mesin pemprosesan serta pembungkusan dan promosi pemasaran produk.

 

Kerajaan Negeri juga menghargai keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap aspek pembangunan luar bandar menerusi peruntukan sebanyak RM5.25 juta dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW) kepada Lembaga Pembangunan Wilayah Johor Tenggara (KEJORA) bagi melaksanakan tujuh projek pembangunan premis usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di daerah Kluang dan Kota Tinggi, sekali gus menyokong perkembangan perusahaan IKS.

 

Selain itu, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil (RISDA) turut menyediakan pelbagai skim insentif keusahawanan termasuk bantuan Start-Up, Groom Big serta bantuan pensijilan halal dan pembungkusan produk.

 

Sementara itu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) turut memperuntukkan dana sebanyak RM120,000 bagi membiayai bantuan peralatan kepada 14 usahawan Orang Asli serta membantu pemasaran produk keluaran mereka melalui Karnival Usahawan Orang Asli (KUOA).

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menjawab pertanyaan YB Puan Fauziah Misri, Ahli Dewan Negeri Johor kawasan Penawar berkaitan hala tuju Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekonomi luar bandar pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

 

#DewanNegeriJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor