USAHA KERAJAAN NEGERI BASMI MISKIN TEGAR DITERUSKAN DI JOHOR BAHRU
ISKANDAR PUTERI — Seramai 449 ketua isi rumah (KIR) di Johor Bahru bakal dibantu oleh Kerajaan Negeri untuk keluar dari kelompok miskin tegar.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, Kerajaan Negeri meneruskan usaha untuk membasmi miskin tegar di negeri ini.
Menurutnya, usaha tersebut dilakukan bersama pelbagai agensi berkaitan iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) serta Pejabat Daerah Johor Bahru.
“Selain dari bantuan kewangan dari pihak kerajaan (JKM dan MAIJ), Kerajaan Negeri akan membantu golongan ini dari aspek pekerjaan kepada mereka yang berkehendak untuk bekerja melalui PERKESO serta aspek pendidikan bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran melalui YPJ,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Isnin.
Khairin Nisa berkata, beliau bersama semua agensi yang terlibat juga telah mengadakan pertemuan bersama keluarga yang tergolong dalam kelompok miskin tegar di sekitar Johor Bahru.
“Terima kasih saya ucapkan kepada agensi-agensi kerajaan yang bersama-sama dalam usaha membasmi miskin tegar di Negeri Johor,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat, Shubanah Yusuf; Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed serta penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung di daerah Johor Bahru.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor