KERAJAAN NEGERI LULUS RM1.7 JUTA BAGI PROGRAM PEMBANGUNAN KOPERASI JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah semasa Sidang Media Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor meluluskan peruntukan bagi pembangunan gerakan koperasi di negeri ini, berjumlah RM1.7 juta untuk tahun ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk program Geran Coop Maju Johor 2023 yang dijangka bakal memberi manfaat kepada kira-kira 30 koperasi.

 

“Geran ini terbuka kepada semua koperasi di negeri Johor untuk tujuan, pertama, insentif bagi mengembangkan aktiviti perniagaan sedia ada. Kedua, insentif bagi koperasi memulakan cabang aktiviti perniagaan baharu dan, ketiga, insentif bagi memulih aktiviti perniagaan yang berdaya maju.

 

“Bagi geran ini, jumlah maksimum yang boleh diluluskan bagi setiap koperasi adalah sebanyak RM50,000. Keutamaan adalah kepada koperasi yang tidak pernah menerima geran bantuan sama ada dari Kerajan Negeri atau Kerajaan Pusat,” katanya pada sidang media, pada Isnin.

 

Mohd Hairi berkata, baki daripada keseluruhan peruntukan tersebut iaitu RM200,000 pula bagi melaksanakan program Groombig Produk Koperasi yang bertujuan meningkatkan kualiti produk keluaran koperasi.

 

“Aktiviti-aktiviti dalam program ini termasuklah upgrading, rebranding, packaging atau labelling serta mendapat pensijilan-pensijilan tertentu seperti GMP, HCCP, MeSTI, Halal dan sebagainya bagi meningkat kebolehpasaran produk berkenaan.

 

“Bagi program ini, kita mensasarkan sebanyak lima produk koperasi akan ditingkatkan kebolehpasarannya sehingga ke pasaran luar negara,” katanya.

 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri percaya peruntukan bagi membiayai dua program itu menjadi pemangkin peningkatan keupayaan koperasi untuk bersaing dalam dunia perniagaan yang kian mencabar.

 

“Melaluinya, saya juga mengharapkan agar koperasi mampu menjadi model terbaik dalam memastikan jurang ekonomi antara golongan pemodal dan rakyat biasa dapat dirapatkan dan seterusnya menjadi pemain aktif dalam menjayakan agenda Maju Johor 2030,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor