UTHM DIIKTIRAF SEBAGAI 10 PUSAT LATIHAN PENSIJILAN TERBAIK


UTHM terima pengiktirafan dari ‘Certiport Authorized Testing Center’ sebagai 10 pusat latihan terbaik yang menawarkan program latihan pensijilan di Malaysia. | Foto ihsan Facebook Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

ISKANDAR PUTERI — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima pengiktirafan dari ‘Certiport Authorized Testing Center’ sebagai 10 pusat latihan terbaik yang menawarkan program latihan pensijilan di Malaysia.

 

Pengiktirafan tersebut diberikan melalui anugerah ‘Top 10 Malaysia’s Certiport Authorized Testing Centre’ (CATC) sempena ‘The Micro-Credentials Education Summit 2023’ (MCES) yang diadakan pada 1 Jun lalu di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar South, Kuala Lumpur.

 

Penyelaras Pusat Ujian Certiport, UTHM, Dr. Norhaidah Mohd Asrah, berkata Certiport di bawah syarikat Pearson Vue merupakan penyedia utama dalam pembangunan peperiksaan bagi tujuan pensijilan.

 

“Rangkaian Certiport diguna secara meluas oleh pusat latihan pensijilan di seluruh dunia. Peperiksaan pensijilan yang dijalankan adalah mengikut piawaian global untuk meningkatkan produktiviti individu, daya saing dalam pasaran industri dan memberi nilai tambah dalam pembangunan kerjaya,” jelas beliau.

 

Anugerah itu telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Qualifications Agency (MQA), Dato’ Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad selaku wakil UTHM.

 

Sementara itu, dua pelajar UTHM, Muhammad Hamizan Yusof dan Nur Izzati Hasanah Zainal turut menerima anugerah di atas kejayaan mereka dalam ‘Microsoft Office Specialist’ Malaysia National Championship 2023.

 

Kedua-dua pelajar dari Pusat Pengajian Diploma tersebut meraih tempat kedua dan ketiga bagi kategori ‘Microsoft Word’ (Office 2019).

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor