UTHM, KMKJ LAKSANA EKSPEDISI UJI KUALITI AIR GUNUNG PULAI


Peserta dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor (KMKJ) menyertai program kelestarian Penentuan Kualiti Air Sungai di Gunung Pulai / Gambar Ihsan UTHM.

 

ISKANDAR PUTERI — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) bersama Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor (KMKJ) melaksanakan program kelestarian Penentuan Kualiti Air Sungai di Gunung Pulai.

Pengurus program, Ts Dr Mohd Ariff Ahmad Nazri, berkata program itu diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta berkaitan kaedah pengujian kualiti air dengan menggunakan kaedah Purata Skor Taxon (ASPT).

Katanya, kaedah itu bagi mengukur sama ada air sungai berada pada tahap bersih atau sebaliknya menerusi penemuan hidupan makroinvertabrata yang hidup di dalam air sesebuah sungai.

“Pengenalan kepada Kit Pendidikan Kualiti Air yang dicipta khas oleh FKAAB juga turut didedahkan kepada peserta dengan memfokuskan kaedah penggunaanya bagi mendapatkan hasil yang tepat.

“Hasilnya, kajian yang menggunakan pendekatan Petunjuk Bio (makroinvertebrata) dan kimia itu mendapati air sungai di Gunung Pulai dalam keadaan bersih dan bebas pencemaran serta selamat digunakan oleh manusia,” katanya.

Mohd Ariff berkata, selain itu peserta program turut menemui beberapa spesies dan keluarga makroinvertebrata di dalam air yang kemudiannya dibuat perbandingan menggunakan kaedah kimia bagi menentukan tahap kualiti air.

Beliau berkata, selain membuat ekspedisi beresperimen itu, program ini juga bertujuan memberi peluang serta pengalaman baru kepada pelajar bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran komunikasi dan kompetensi mereka.

“Pelaksanaan aktivti atau program berkaitan penentuan kualiti air sungai ini diharapkan dapat memupuk minat generasi masa kini untuk mencintai sungai.

“Selain itu, pihak UTHM berharap ia akan menjadi satu amalan dan budaya kepada warga universiti dalam mewujudkan sebuah kampus yang lestari dan mampan pada masa akan datang,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor