SWM ENVIRONMENT SUMBANG TONG KITAR SEMULA KEPADA 16 SEKOLAH


SWM Environment menyumbangkan kemudahan tong kitar semula kepada 16 sekolah di kawasan bandar raya Iskandar Puteri dan Mukim Tanjung Kupang.

 

ISKANDAR PUTERI — SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menyumbangkan kemudahan tong kitar semula kepada 16 sekolah di kawasan bandar raya Iskandar Puteri dan Mukim Tanjung Kupang.

Sumbangan tersebut bersempena acara sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan Peringkat Daerah Johor Bahru yang diadakan di SJK (C) Cheah Fah.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, sumbangan kemudahan tong kitar semula kepada sekolah menengah, sekolah rendah dan sekolah agama itu merupakan antara inisiatif Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA).

Ujarnya, ia bertujuan untuk memudahkan pelaksanaan aktiviti kitar semula di sekolah sekali gus terlibat dalam usaha mencapai sasaran 40 peratus kadar kitar semula kebangsaan menjelang tahun 2025.

“Sumbangan tong kitar semula kepada sekolah-sekolah ini menterjemah usaha SWM Environment menjayakan Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Puteri 2025 oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

“Sekolah merupakan platform terbaik bagi membentuk generasi lestari, rendah karbon dan bebas sisa seiring dengan sasaran di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030,” katanya.

Mohd Norlisam berkata, SWM Environment turut menyediakan perkhidmatan kutipan barangan kitar semula yang diselaraskan oleh 3R Troopers sebagai melengkapi sumbangan tong kitar semula tersebut.

Katanya, perkhidmatan kutipan barangan kitar semula akan menggunapakai program kitar semula berganjaran, KITARecycle yang menawarkan mata ganjaran daripada pengumpulan barangan kitar semula oleh sekolah-sekolah berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu SWM Environment juga mengumumkan nilai mata ganjaran baharu bagi 25 jenis barangan kitar semula di bawah KITARecycle yang bertujuan untuk meningkatkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti itu.

“Langkah memperbaharui mata ganjaran ini dibuat untuk merangsang aktiviti kitar semula sekali gus menyokong usaha pihak kerajaan yang kini dalam peralihan kepada ekonomi kitaran.

“Dalam pada itu, sebanyak 428,945 kilogram barangan kitar semula telah berjaya dikumpulkan oleh 3R Troopers melalui pelbagai aktiviti poket seperti Acara Pandu Lalu Iskandar Puteri Rendah Karbon,” katanya.

Selain itu, penganjuran pertandingan seperti Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC), Pertandingan Kelestarian Pendidikan LA21 MBIP, Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PERKISS) dan WMAM Eco Youth Challenge (WEYC).

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor