UTHM TERUS PUPUK KESEDARAN KELESTARIAN ALAM


Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus komited dalam memupuk kesedaran masyarakat terhadap kelestarian alam sekitar. | Foto ihsan UTHM

 

ISKANDAR PUTERI — Fakulti Teknologi dan Sains Gunaan (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus komited dalam memupuk kesedaran masyarakat terhadap kelestarian alam sekitar.

 

FAST menerusi Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi (JTS) dan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menganjurkan Program “University for Society” (SULAM) di Kampung Hujung Tambak, Grisek, Tangkak bagi menggalakkan penduduknya menjana pendapatan dengan menghasilkan produk melalui bahan sisa makanan dan kitar semula.

 

Penyelaras Program, Sr Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah, berkata program bertemakan “Shaping the Livable Nature” itu berjaya melibatkan penyertaan 50 pelajar tahun dua JTS bagi Kursus Keusahawanan dan Kursus Kreatif & Inovasi bersama 42 penduduk kampung berkenaan.

 

“Kami ingin memupuk kesedaran masyarakat setempat tentang kepentingan memulihara kelestarian alam melalui pelaksanaan aktiviti seperti menggunakan bahan terpakai untuk dijadikan bekas kedap bau baja kompos melalui sisa makanan dan menghasilkan sabun basuh pinggan melalui minyak terpakai.

 

“Penganjuran program ini juga bertujuan untuk memupuk minat pelajar berkongsi hasil pembelajaran mereka di universiti kepada komuniti luar, selain membantu komuniti meningkatkan pendapatan menerusi inovasi yang telah diajar,” tambahnya.

 

Tambah Nazirah, program itu juga akan disusuli dengan projek penjanaan pendapatan yang akan dilaksanakan pada masa akan datang.

 

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Pagoh Perdana, Ismail Mohamad dalam ucapan perasmiannya berkata, program seumpama ini perlu dilaksanakan secara berterusan kerana mampu mengetengahkan peranan UTHM dalam menyumbang ilmu dan pengetahuan kepada masyarakat.

 

“Program ini juga selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mahu jadikan universiti untuk masyarakat melalui ‘Universiti for Society’.

 

“Saya juga berharap agar Kampung Hujung Tambak akan mempunyai produk sendiri kelak melalui kerjasama dengan UTHM,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor