KERAJAAN NEGERI USAHA KURANGKAN TEMPOH MENUNGGU DI HKT


Tian Soon mengadakan lawatan ke Hospital Kota Tinggi pada Selasa lalu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh dan ADUN Pasir Raja, Rashidah Ismail. | Foto ihsan FB AH SOON

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri Johor akan menumpukan usaha mengurangkan tempoh menunggu di Unit Kecemasan & Trauma, Hospital Kota Tinggi (HKT).

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon, berkata beliau juga dimaklumkan oleh wakil rakyat setempat yang menerima aduan berhubung isu bahagian kecemasan hospital berkenaan diberi perhatian supaya tempoh masa menunggu dapat dipendekkan.

 

“Pihak hospital hanya memperuntukkan dua orang bagi syif sebelah malam dan dibantu oleh empat atau lima penolong pegawai perubatan atau jururawat.

 

“Sekiranya ada kes kecemasan di zon merah atau kuning, doktor akan beri perhatian di zon berkenaan sekali gus menyebabkan pesakit di zon hijau terpaksa menunggu lama,” katanya di laman Facebook rasminya.

 

Terdahulu, Tian Soon mengadakan lawatan ke Hospital Kota Tinggi pada Selasa lalu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh dan ADUN Pasir Raja, Rashidah Ismail.

 

Dalam siaran yang sama, Tian Soon memaklumkan, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama pihak hospital berkenaan dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan.

 

“Untuk bahagian wad tiada masalah. Saya menerima respon positif dari pesakit yang selesa dan berpuas hati dengan perkhidmatan dari pihak hospital.

 

“Saya berterima kasih kepada semua petugas kesihatan yang sentiasa berkorban dan memberikan mutu perkhidmatan yang terbaik untuk semua pesakit,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor