WAU MERAK TENUNAN ANAK JOHOR RAIH MBOR


Mohamad Sharil Ahmad, penenun Yayasan Warisan Johor (YWJ) berjaya meraih Malaysia Book of Record (MBOR) hasil tenunan Wau Merak yang menggunakan Benang Tenun Johor selepas wau tersebut berjaya diterbangkan pada Festival Layang-Layang dan Wau Peringkat Kebangsaan 2022.

 

Siapa sangka kejayaan Wau Merak diterbangkan pada Festival Layang-Layang dan Wau Peringkat Kebangsaan 2022 bertempat di Bukit Layang-Layang, dekat Pasir Gudang merupakan sentuhan Mohamad Sharil Ahmad, 21.

 

Lebih istimewa, wau tersebut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai layang-layang pertama menggunakan kain tenunan benang Johor.

 

Berkongsi mengenai pencapaian itu, Mohamad Sahril memberitahu Wau Merak dihasilkan oleh dirinya menggunakan teknik tenunan yang kemudiannya berjaya diterbangkan ke udara.

 

“Pernah buat tenun untuk layang-layang dalam Festival Layang-layang Pasir Gudang tahun lepas untuk MBOR dan Alhamdulillah layang-layang yang dibuat berjaya terbang.

 

“Menenun untuk buat layang-layang itu yang paling mencabar sebab perlu siapkan dalam tempoh dua minggu,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, baru-baru ini.

 

Mohamad Sharil merupakan penenun Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang mula berkecipung dalam dunia tenunan sejak melihat kemahiran menenun dimiliki oleh kakaknya, Norhulnadia Ahmad, 34.

 

Oleh kerana minat yang mendalam, beliau mengambil inisiatif hadir ke YWJ untuk belajar sendiri kaedah, teknik dan juga falsafah tenunan benang Johor sejurus tamat persekolahan.

 

“Saya minat selepas melihat kakak buat (menenun), semasa tingkatan tiga datang ke yayasan warisan johor sebab suka-suka cuma nak tengok orang buat, sebab masa itu cuti sekolah. jadi minat itu mula timbul masa datang tengok kakak buat.

 

“Jadi selepas SPM saya datang ke Yayasan Warisan Johor, belajar menenun dalam masa enam bulan sebelum menerima tawaran menjadi kakitangan Yayasan Warisan Johor,” katanya.

 

Wau Merak hasil tenunan menggunakan Kain Benang Johor diterbangkan oleh ahli Persatuan Pelayang Negeri Johor.

 

‘Ibarat genggam bara api, biar sampai jadi arang’, peribahasa yang menggambarkan kesungguhan anak muda dari Kluang itu ketika mempelajari ilmu menenun sehingga mampu menghasilkan kain tenun tanpa bimbingan pengajar.

 

Beliau akui perlu mengambil tempoh yang lama untuk mempelajari keseluruhan proses menenun kain dari mula hingga ke peringkat akhir.

 

“Cabaran untuk belajar menenun ini adalah proses. Contoh operasi perlu menyampak dan mengarat, dalam sehelai benang ini ada 3,000 helai kita kena masukkan satu persatu dalam alat sebelum menenun.

 

“Masa mula-mula sebulan ke dua bulan agak mencabar juga. Perlu fahamkan teknik nganing, ngerai dan kena susun untuk jadikan loseng balik semula, kemudian kena mengulung, itu lah cabaran dia,” katanya.

 

Selepas berjaya menguasai teknik dan kaedah menenun, Mohamad Sharil diberi tanggungjawab menghasilkan beberapa jenis kain tenun untuk pameran dan dikomersialkan.

 

Selain itu, ujarnya, hasil tenunan tangannya turut digunakan Kerabat Diraja Johor selain sering mendapat tempahan daripada individu ternama.

 

Beliau turut berbangga kerana dapat mempelajari proses menenun kain seawal usia muda dan menjadi antara inidividu yang boleh mengekal serta memelihara warisan tersebut.

 

“Saya minta anak muda cuba minatlah. Macam saya, ada kawan dia pun belajar. Walaupun mula-mula saya ajar dia tidak minat, tapi lama-lama bila sudah kerja di sini, dia mula rasa minat.

 

“Jadi harapan saya bila orang datang bukan belajar tengok sahaja, tapi cuba untuk buat, baru minat itu datang. Saya harap mereka (generasi muda) boleh buat (pelihara) tradisi ini supaya tidak ketinggalan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor