YANG DI-PERTUAN AGONG TONGGAK SYIAR ISLAM


KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebagai Pemerintah Takhta Kerajaan Johor memanifestasikan Islam dengan konsep wasatiyyah yang membangunkan perpaduan dalam kalangan Bangsa Johor. | Foto MDJ Ezreen Abd Talip

 

 

Syiar Islam di Negeri Johor terus berkembang dengan kepelbagaian usaha daripada Kerajaan Negeri memartabatkannya. Di bawah naungan DYMM Sultan Johor sebagai Ketua Agama Islam Negeri, pemerkasaan syiar Islam giat dilakukan demi pembangunan umatnya dan ummah.

 

Komitmen tinggi Kerajaan Negeri terhadap usaha memartabat syiar Islam diterjemahkan menerusi peruntukan dalam belanjawan negeri bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam yang dimanfaatkan untuk mewujudkan persekitaran yang kaya dengan nilai dan norma yang Islami.

 

 

Saban tahun, tumpuan terus diberikan kepada usaha antaranya membina, baik pulih dan menambah baik infrastruktur Sekolah Agama, menyelenggara masjid dan surau, menjaga kebajikan guru agama dan mualaf, membantu dan memberdayakan golongan asnaf serta mengukuhkan jati diri umat Islam Johor.

 

Seiring dengan itu, lebih RM18 juta telah diperuntukkan bagi menjayakan lapan inisiatif yang telah digariskan di bawah Strategi Memperkukuh Tadbir Urus Syiar Islam pada Belanjawan 2024 oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.

 

 

 

 

Antara inisiatif tersebut adalah semarak subuh; membudayakan al-Quran penjawat awam; pengambilan guru baharu Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ); kenaikan elaun mengajar darjah khas; kursus jangka pendek guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA); insentif kepada pegawai pengurusan masjid dan surau; pembangunan sistem penyelarasan bantuan masjid, surau dan SAKJ serta pengukuhan fungsi pengurusan harta tanah wakaf dan baitulmal.

 

Berkat kebijaksanaan dan kepimpinan penuh berhikmah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebagai Pemerintah Takhta Kerajaan Johor sejak tahun 2010 juga telah memanifestasikan Islam dengan konsep wasatiyyah yang membangunkan perpaduan dalam kalangan Bangsa Johor.

 

 

 

 

Keperibadian Seri Paduka Baginda yang tegas mempertahan dan melindungi kesucian agama Islam termasuk dalam isu Kalimah Allah selain urusan pentauliahan penceramah demi memperteguhkan akidah umat Islam di negeri ini, memanifestasikan kepimpinan yang membawa seribu rahmat.

 

Semoga dengan pemerintahan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim syiar Islam di negara ini, terus berkembang dan dimartabatkan selaras dengan konsep Malaysia Madani sekali gus meletakkan Malaysia sebuah negara Islam yang dihormati dan disegani seluruh dunia.

 

 

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor