ZOO JOHOR BAKAL BEROPERASI WAKTU MALAM

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyantuni pengunjung yang melawat Zoo Johor. | Foto ihsan Facebook Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Projek pembangunan Fasa Kedua Zoo Johor yang sedang giat dilaksanakan dijangka bakal disiapkan sepenuhnya pada 15 Disember tahun ini, merangkumi pelbagai penambahbaikan dalam usaha memperkasa sektor pelancongan negeri menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM7 juta bagi pembangunan fasa ini, termasuk pembinaan kemudahan laluan mesra orang kurang upaya (OKU) dan kereta sorong bayi, selain ia turut membabitkan kerja menaik taraf kandang haiwan serta pembangunan Zoo Waktu Malam atau ‘Night Zoo’ yang bakal menawarkan pengalaman lawatan yang lebih interaktif dan berunsur pendidikan.
Sejak dibuka semula kepada umum pada 31 Ogos tahun lalu, Zoo Johor turut menerima lonjakan ketara dari segi jumlah kehadiran apabila berjaya merekodkan hampir 1 juta pelawat setahun berbanding anggaran awal 400,000 pengunjung sebelum ini, manakala perolehan hasil pendapatan pula dijangka meningkat lima kali ganda kepada RM7 juta setahun.
Sebagai zoo tertua di Malaysia yang terletak di pusat bandar raya Johor Bahru, pembangunan semula ini akan turut mengambil kira pengekalan elemen warisan sambil memperkenalkan kemudahan moden seperti sistem e-tiket, zon interaktif baharu dan laluan bas ke lokasi sekitar, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon pelancongan keluarga serta pusat pemuliharaan haiwan bertaraf antarabangsa.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor meninjau kemajuan kerja pembangunan fasa kedua Zoo Johor yang telah bermula sejak awal Mei lalu yang melibatkan pelaksanaan pelbagai elemen fizikal dan teknologi terkini.
#ZooJohor
#VisitJohor2026
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor