100 REMAJA PEREMPUAN TERIMA KIT SERI


Simbolik penyerahan kit SERI kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak | Sumber Facebook Khairin-Nisa Ismail.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 100 remaja dari keluarga B40 di daerah Tangkak menerima manfaat Program Pemberian Kit Kebersihan Asas Wanita Kepada Remaja Perempuan atau Kit SERI.

Inisiatif itu diberikan kepada remaja perempuan terpilih dari sekolah dalam daerah tersebut pada program Majlis Pelancaran dan Penyampaian Kasih Suri Keluarga Malaysia Negeri Johor dan i-Berkat Daerah Tangkak, minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, golongan B40 sentiasa diberikan tumpuan dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan.

“Di dalam usaha kita membantu golongan sasar yang kurang berkemampuan, golongan B40 juga dipandang serius dalam setiap inisiatif yang diketengahkan.

“Beberapa penyampaian turut diadakan sejurus Pelancaran Kasih Suri Keluarga Malaysia bagi membantu golongan-golongan sasar ini dengan lebih dekat.

“Antaranya adalah penyampaian simbolik Kit Seri (washable pad) bagi 100 remaja B40 yang terpilih dari sekolah dalam daerah Tangkak yang diterima oleh Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak bagi diagihkan kepada penerima.

“Kit Seri ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Johor bagi menangani masalah kemiskinan haid,” katanya.

Khairin-Nisa turut memberitahu penyampaian manfaat i-Berkat turut disempurnakan kepada penerima terpilih di daerah Tangkak antaranya kerusi roda, tongkat dan lampin dewasa.

“Saya berharap insentif-insentif yang diberikan dapat membantu golongan-golongan sasar,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor