RAKYAT SUDAH MATANG – SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR


Pegawai SPR sedang meneliti proses penamaan calon ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu / Pix Gambar Fail SPR.

 

ISKANDAR PUTERI — Pentadbiran Kerajaan Johor berjalan seperti biasa selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani.

Selain itu, beliau turut menyifatkan rakyat Johor telah matang dalam membuat pilihan berdasarkan pengamatannya terhadap trend keputusan kerusi-kerusi dipertandingkan di negeri ini.

“Apa pun keputusan yang akan keluar nanti, ini demokrasi. Ini pilihan rakyat. Rakyat sekarang sudah matang dan sudah biasa dengan perubahan pimpinan.

“Saya menjangkakan bahawa di Negeri Johor, insha Allah perkara ini (pentadbiran) berjalan seperti biasa,” katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Media Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Johor, semalam.

Ditanya harapan terhadap gabungan politik yang berjaya dalam PRU-15, Azmi berkata, wakil rakyat dipilih perlu menjalankan tanggungjawab dan menunaikan janji dibuat kepada pengundi.

“Saya harap perkara seperti mana yang lepas tidak akan berlaku dan kerajaan atau wakil rakyat dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin.

“Jadikan pengalaman yang lepas sebagai satu pengajaran dan tunjukkan kali ini (bahawa) pilihan raya telah dibuat dengan teratur dan betul, dan tiada sebab wakil rakyat tidak dapat menjalankan tugas dengan baik dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, ujar beliau, menjadi tanggungjawab wakil rakyat dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895.

“Kalau itu prinsip yang dia pegang, saya rasa tak ada masalah antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan yang berbeza.

“Kalau dia memegang kepada ‘spirit’ yang telah digariskan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan juga Undang-Undang Tubuh Negeri Johor, perjalanan pentadbiran saya rasa boleh berjalan dengan baik,” katanya.

Azmi turut berpandangan landskap semasa politik tanah air menunjukkan negara telah matang dalam pilihan raya kali ini sekali gus berbeza dengan pola pemikiran terdahulu.

“Pengalaman pilihan raya yang lepas dan pilihan raya sebelumnya, pertukaran (kerajaan) dan sebagainya, mengajar perkhidmatan awam dan juga pimpinan politik untuk lebih matang dan bertanggungjawab kepada rakyat.

“Rakyat sudah terlalu rimas dengan politik dan saya fikir wakil rakyat (terutama) orang politik pun faham. Di sinilah peluang atau ditunjukkan profesionalisme dan kebertanggungjawaban dan seorang ahli politik yang matang untuk membantu rakyat,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor