POLIS JOHOR TERIMA 339 LAPORAN SEPANJANG PRU-15


Kenyataan media Ketua Polis Johor | Sumber Facebook Polis Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Polis Johor menerima 339 laporan polis di seluruh daerah sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bermula 4 hingga 21 November lalu.

Ketua Polis Johor, Dato’ Kamarul Zaman Mamat berkata, Kota Tinggi mencatatkan laporan paling tinggi dengan 78 laporan polis.

“Johor Bahru Utara sebanyak 58, Kluang sebanyak 30, Iskandar Puteri sebanyak 30, Batu Pahat sebanyak 25, Pontian sebanyak 24, Muar sebanyak 20, Segamat sebanyak 17, Johor Bahru Selatan sebanyak 16, Seri Alam sebanyak 12, Kulai sebanyak 11, Tangkak sebanyak 11 dan Mersing sebanyak tujuh laporan.

“Manakala sebanyak 30 kertas siasatan yang dibuka iaitu lapan kes disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tujuh kes disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Bahan Letupan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, kes disiasat paling tinggi adalah sebanyak 15 kes iaitu di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan di mana kesalahan melakukan perbuatan khianat terhadap bendera dan poster calon bertanding.

“Selain itu, seramai enam tangkapan telah dibuat terdiri daripada enam lelaki warga tempatan sempanjang tempoh 4 hingga 21 November 2022.

“Manakala 27 kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata, Polis Johor mendapati proses pembuangan undi PRU-15 berlangsung dengan lancar dan tiada insiden serta perkara yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor