16 PERSATUAN SUKAN TERIMA GERAN KERAJAAN NEGERI


Persatuan Bolasepak Negeri Johor menerima Geran A berjumlah RM100,000 daripada kerajaan negeri sempena Majlis Anugerah Penggredan Persatuan Sukan Negeri Johor 2023, semalam.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 16 persatuan sukan di bawah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) layak menerima geran daripada kerajaan negeri bagi mengurus tadbir dan melaksanakan program pembangunan pada tahun ini.

 

Daripada jumlah tersebut, satu persatuan menerima Geran A bernilai RM100,000 diikuti lima persatuan untuk Geran B berjumlah RM70,000 dan 10 persatuan Geran C bernilai RM50,000.

 

Kesemua persatuan berkenaan layak menerima geran setelah melengkapkan dokumentasi penting yang diperlukan untuk dinilai penggredan melibatkan soal pengurusan dan perancangan program.

 

Penyerahan geran tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah pada Majlis Anugerah Penggredan Persatuan Sukan Negeri Johor 2023, semalam.

 

Mohd Hairi berkata, prestasi persatuan negeri pada tahun ini, menunjukkan peningkatan dari segi aktiviti-aktiviti penganjuran dan penyertaan berbanding enam persatuan sukan pada tahun lalu.

 

“Persatuan sukan yang tidak menerima geran pula akan menerima bantuan am berjumlah RM10,000. Saya yakin tahun akan datang lebih banyak persatuan akan menerima Geran C kerana saya lihat banyak persatuan yang menerima bantuan am hanya kurang beberapa markah sahaja untuk melayakkan ke Geran C.

 

“Namun begitu, terdapat persatuan yang rancak aktiviti-aktivitinya, namun gagal menyediakan dokumen-dokumen penting seperti MYKB (Maklumat Yang Kena Beri). Ini perlu diperbaiki bagi memastikan persatuan sukan tidak dibatalkan oleh Pesuruhjaya Sukan,” katanya.

 

Selain itu, beliau turut menyeru semua persatuan sukan untuk terus berusaha dalam soal pengurusan dan perancangan pembangunan melibatkan pegawai, jurulatih dan atlet.

 

Pada majlis tersebut, Persatuan Bolasepak Negeri Johor menerima Geran A diikuti Persatuan Hoki Johor, Persatuan Sukan Boules Johor, Persatuan Bola Keranjang Negeri Johor, Persatuan Badminton Negeri Johor dan Persatuan Bola Tampar Amatur Negeri Johor yang menerima Geran B.

 

Manakala, Persatuan Silat Kebangsaan Negeri Johor, Persatuan Muay Thai Negeri Johor, Persatuan Memanah Negeri Johor, Persatuan Sofbol Johor Darul Ta’zim, Persatuan Karate Johor, Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor, Persatuan Tenpin Boling Johor, Persatuan Bola Jaring Negeri Johor, Persatuan Tenis Negeri Johor dan Persatuan Bola Baling Johor menerima Geran C.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor