KERAJAAN NEGERI TIDAK BERKOMPROMI SOAL INTEGRITI PERSATUAN SUKAN


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah hadir ke Majlis Anugerah Penggredan Persatuan Sukan Negeri Johor 2023, semalam.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor tidak akan berkompromi terhadap salah guna kuasa atau penyelewengan dana persatuan sukan khusus melibatkan kebajikan atlet.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, tindakan tegas akan diambil termasuk memberi laluan kepada Pesuruhjaya Sukan dan badan bebas untuk menjalankan siasatan.

 

Beliau akui amat menitikberatkan soal integriti dan ketelusan pengurusan dana persatuan khususnya yang diperoleh daripada kerajaan negeri.

 

“Saya menyedari peruntukan yang disalurkan kadang kala tidak mencukupi atas faktor kekangan kewangan kerajaan negeri, tetapi jangan cuba mengambil kesempatan menyalahgunakan dana persatuan khususnya yang membabitkan kebajikan atlet-atlet.

 

“Saya juga menyarankan setiap persatuan sukan membuat audit persatuan bagi tahun 2023 dan menghantar semua pelaporan itu kepada pihak MSNJ (Majlis Sukan Negeri Johor) untuk tujuan rekod dan simpanan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Penggredan Persatuan Sukan Negeri Johor 2023, semalam.

 

Mohd Hairi berkata, persatuan yang menerima geran tahunan daripada kementerian juga harus membuat pemakluman kepada ahli lembaga atau keanggotaan persatuan demi memastikan ketelusan urus tadbir membabitkan dana persatuan.

 

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu turut mengingatkan agar persatuan sukan tidak dipolitikkan, dan pihaknya akan memantau pencapaian atlet dan pengurusan.

 

“Saya juga akan berhubung dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan meminta MSNJ mengenalpasti mana-mana persatuan sukan di Negeri Johor yang tidak aktif untuk ditutup, sekiranya perlu,” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor