17 PENTERNAK LEMBU TERIMA INSENTIF


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian Insentif Ternakan Lembu Pedaging di Pejabat Perkhidmatan Veterinar di Segamat. | Sumber foto: Facebook Dato’ Zahari Sarip.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 17 orang penternak lembu di seluruh negeri ini menerima insentif dari Kerajaan Negeri.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip, berkata insentif tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000 sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi Belanjawan 2023.

 

“Seramai 17 orang penternak lembu seluruh Negeri Johor menerima insentif berupa lima ekor lembu baka yang membabitkan seekor jantan & empat ekor betina.

 

“Ia merupakan usaha kerajaan bagi mencapai sasaran peningkatan 21.6 peratus jumlah ternakan lembu di Johor iaitu daripada 84,600 ekor pada tahun lalu kepada 102,800 ekor menjelang 2027 kelak,” katanya di laman Facebook rasminya.

 

Terdahulu, Zahari menyempurnakan Majlis Penyampaian Insentif Ternakan Lembu Pedaging di Pejabat Perkhidmatan Veterinar di Segamat, pada semalam.

 

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, N. Saraswati dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor, Dr. Maria Jamli.

 

Zahari juga berharap insentif ini akan dapat membantu usaha untuk menambah jumlah ternakan lembu di Johor dan seterusnya mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor