JDT PERUNTUK 1,000 TIKET KEPADA PENYOKONG RED GIANTS


Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) memperuntukkan 1,000 keping tiket kepada penyokong Selangor FC untuk perlawanan separuh akhir Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) atas dasar semangat kesukanan dengan harapan lebih ramai penyokong pelawat hadir ke SSI. | Foto ihsan JOHOR Southern Tigers

 

ISKANDAR PUTERI — Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) memperuntukkan 1,000 keping tiket kepada penyokong Selangor FC untuk perlawanan separuh akhir Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini, pada 26 Jun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards, berkata peruntukan itu atas dasar semangat kesukanan dengan harapan lebih ramai penyokong pelawat hadir ke SSI.

 

“Peruntukan ini adalah atas dasar semangat kesukanan dan harapan lebih ramai penyokong pelawat dapat hadir untuk menikmati atmosfera di ‘2020 World Stadium of the Year’ dan ini juga adalah jumlah tiket ‘away’ tertinggi pernah diberikan kepada pasukan pelawat di Home of the Southern Tigers.

 

“Sebelum ini, tiket terbanyak yang diperuntukkan kepada pasukan pelawat adalah sebanyak 800 tiket,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik dalam Facebook JOHOR Southern Tigers, pada Selasa.

 

Dalam kempen Piala FA 2023, JDT mencatatkan kemenangan ke atas PDRM FC dan Penang FC dengan rekod tanpa sebarang bolos untuk mara ke perlawanan separuh akhir.

 

Satu lagi perlawanan separuh akhir yang akan berlangsung adalah Terengganu FC menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 25 Jun ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor