191 GENERASI KEDUA FELDA TENGGAROH 3 TERIMA HAK MILIK


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyampaikan hak milik kepada salah seorang penerima | Sumber Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menyampaikan hak milik tanah generasi kedua kepada 191 penerima di Felda Tenggaroh 3, dekat Mersing, semalam.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penyampaian hak milik tanah tersebut membuktikan kerajaan negeri komited menyelesaikan isu dihadapi rakyat di negeri ini.

“Saya telah menyampaikan hak milik tanah generasi ke-2 kepada 191 penerima di Felda Tenggaroh 3. Gembira saya bila melihat senyuman di wajah kesemua penerima itu. Inilah kepuasan dan suntikan semangat bagi kerajaan negeri untuk terus berusaha menyelesaikan isu yang dihadapi rakyat di Johor.

“Insha Allah, semoga segala usaha ini dapat memudahkan urusan dan memanfaatkan warga Felda pada masa akan datang,” katanya sempena Majlis Penyerahan Hak Milik Generasi Kedua FELDA Tenggaroh 3.

Terdahulu, beliau berkesempatan menyantuni masyarakat Felda Tenggaroh 2 dan Felda Tenggaroh 3 dalam lawatan kerjanya ke Mersing.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata, penyampaian hak milik tersebut menghadirkan perasaan gembira dan sebak kepada penerima.

“Semua ini adalah berkat kesabaran yang dihadapi oleh para penerima kerana setelah sekian lama tergendala akibat penularan COVID-19.

“Sesungguhnya, Kerajaan Negeri Johor amat komited dalam menyelesaikan isu tanah di negeri Johor,” katanya yang juga ADUN Tenggaroh.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor