JOHOR IKTIRAF KECEMERLANGAN MASYARAKAT ORANG ASLI

YB Tuan Md Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menghadiri Majlis Apresiasi Masyarakat Orang Asli Johor 2026 bagi menghargai pencapaian dan sumbangan masyarakat Orang Asli dalam pelbagai bidang, selaras dengan usaha memperkasa pembangunan serta kesejahteraan komuniti seramai 20,905 orang di Johor. | Foto FB Israk Abdullah
#IskandarPuteri – Seramai 20,905 masyarakat Orang Asli di Johor terus diberi perhatian menerusi pelbagai inisiatif pembangunan dan kesejahteraan, termasuk pengiktirafan terhadap pencapaian serta sumbangan individu cemerlang dalam komuniti berkenaan.
Pengiktirafan itu dizahirkan menerusi Majlis Apresiasi Masyarakat Orang Asli Johor 2026 yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi menghargai pencapaian masyarakat Orang Asli Johor dalam pelbagai bidang.
Majlis berkenaan menyaksikan penyampaian anugerah yang merangkumi kategori Belia, Beliawanis, Batin, JPKKOA, Usahawan, Pelajar dan Ikon Orang Asli sebagai tanda penghargaan terhadap kepimpinan, sumbangan serta kecemerlangan penerima.
Antara penerima yang menerima pengiktirafan pada majlis itu ialah ialah Profesor Madya Dr. Mohamad Zulafif Rahim yang terpilih bagi Anugerah Ikon Orang Asli atas kejayaan beliau dalam bidang akademik.
Anak jati Kampung Orang Asli Sri Pantai, Senggarang, Batu Pahat yang juga berketurunan Orang Asli Kuala kini berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi muda masyarakat berkenaan.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM10.5 juta bagi tempoh 2023 hingga 2026 untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan masyarakat Orang Asli, meliputi aspek kebajikan, pendidikan, infrastruktur, perumahan, kemudahan masyarakat, kepimpinan komuniti dan sosioekonomi.
Peruntukan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan masyarakat Orang Asli turut menikmati peluang pembangunan, meningkatkan taraf hidup serta melakar kejayaan seiring aspirasi Maju Johor 2030.
Terdahulu, majlis berkenaan turut dihadiri YB Tuan Md Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor.
#OrangAsliJohor
#JAKOA
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



