250 KILOGRAM ‘GHOST NET’ BERJAYA DIBERSIHKAN


Peserta Program Pembersihan Dasar Laut berjaya membuang ghost net daripada menjadi ancaman kepada hidupan marin di Taman Laut Johor terutama di sekitar Pulau Sibu / Sumber Ihsan Jabatan Perikanan Negeri Johor

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Perikanan Negeri Johor berjaya membersihkan kira-kira 250 kilogram ‘ghost net’ di sekitar Taman Laut Johor berhampiran perairan Pulau Sibu yang dilihat menjadi ancaman kepada hidupan marin di kawasan berkenaan.

Tindakan itu diambil bagi menjaga persekitaran laut terutama di kawasan yang mempunyai batu karang, selain memastikan haiwan akuatik seperti penyu dan dugong tidak terperangkap hingga menyebabkan kematian.

Pengarah Perikanan Negeri Johor, Zainudin Abdul Wahab, berkata program pembersihan ini juga dilaksanakan bertujuan untuk meminimakan ancaman sampah laut kepada hidupan marin, selain pihaknya sering menerima aduan daripada pengunjung, pengusaha pelancongan dan agensi kerajaan berhubung isu itu.

“Ghost net ini terjadi apabila jaring yang digunakan untuk menangkap ikan tersangkut atau putus. Keadaan menyebabkan jaring itu jatuh ke dasar atau terapung naik di permukaan dan seterusnya tersangkut pada batuan dan juga pada terumbu karang.

“Justeru, keadaan itu meningkatkan risiko bahaya kepada hidupan marin untuk tersangkut pada jaring berkenaan. Selain itu, ghost net yang melitupi terumbu karang juga boleh merencatkan pertumbuhan, merosakan dan juga mematikannya tumbuhan laut itu,” katanya.

Zainudin berkata, sehubungan itu Jabatan Perikanan Negeri Johor komited dalam mengawal ancaman seumpama itu bagi memastikan kelestarian kawasan Taman Laut Johor terus terpelihara.

“Usaha ini adalah untuk memastikan kelestarian sumber perikanan dapat terus dipertahankan demi generasi akan datang.

“Justeru, kita minta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan ghost net ini supaya membuat aduan kepada pihak kami untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa komited dalam menjaga alam sekitar dan berusaha menjadikan kawasan batu karang lebih subur bagi memastikan kemampanan sumber perikanan di negeri ini kelak.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor