HOSPITAL PAKAR KPJ JOHOR MENJADI HOSPITAL SWASTA PERTAMA DI JOHOR MILIKI KUMPULAN SOKONGAN PESAKIT KANSER


Majlis pelancaran JSSG disempurnakan oleh Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara LPPKN Negeri Johor, Dr Salmi Jalina Jalil di Hospital Pakar KPJ Johor, Johor Bahru.

 

ISKANDAR PUTERI — Hospital Pakar KPJ Johor menjadi hospital swasta pertama di negeri ini, memiliki kumpulan sokongan khas kepada pesakit kanser dikenali ‘Johor Specialist Support Group’ (JSSG) dilancarkan semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Haliza Khalid berkata, kewujudan JSSG sebagai inisiatif membantu dari segi sokongan emosi dan sosial serta bertindak membantu menyampaikan maklumat dan pendidikan mengenai kanser.

“Mendengar berita orang yang anda sayangi menghidapi kanser merupakan satu pengalaman yang sangat tertekan dan boleh mengakibatkan pesakit dan ahli keluarga terdekat berada dalam kemurungan.

“Sokongan dari ahli keluarga mungkin tidak mencukupi. Oleh sebab itu, KPJ Johor telah mewujudkan JSSG bagi membantu pesakit kanser mengatasi trauma dan menyediakan maklumat, motivasi serta bimbingan yang selamat untuk pesakit,” katanya, semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara LPPKN Negeri Johor, Dr Salmi Jalina Jalil di Hospital Pakar KPJ Johor, Johor Bahru.

Kumpulan sokongan itu diketuai oleh Ketua Unit Pakar Radioterapi dan Onkologi, Dr. Natasha Hashim disokong oleh dua pakar onkologi yang lain iaitu Dr. Lum Wan Heng dan Dr. Lim Chun Sen selain turut disertai oleh anggota pekerja di Unit Onkologi serta bekas pesakit kanser.

Terdapat tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di kalangan wanita iaitu kanser payudara, ovari dan serviks. Justeru, orang ramai digalakkan membuat saringan awal pemeriksaan kesihatan berkaitan kanser yang mampu menyelamatkan nyawa dan mendapatkan rawatan yang berkesan.

Sementara itu, sempena bulan kesedaran kanser payudara, Hospital Pakar KPJ Johor menganjurkan Larian JSH Pinktober 2022 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

Lebih 600 orang menyertai larian berkenaan dari peringkat umur bermula 15 tahun dan keatas sebagai tanda sokongan kepada pejuang-pejuang pesakit kanser di mana setiap peserta berlari sejauh tujuh kilometer.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor