3 KAEDAH DIGUNAKAN BAIK PULIH JALAN ROSAK


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, terdapat beberapa faktor menyebabkan kerosakan berulang dan kerap berlaku. | Foto Ihsan MedKom

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor komited untuk mengatasi kerosakan berulang jalan raya di negeri ini, demi keselamatan dan keselesaan rakyat di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, terdapat beberapa faktor menyebabkan kerosakan berulang dan kerap berlaku.

 

“Pertama, keadaan tanah semula jadi merupakan salah satu punca masalah jalan-jalan berlubang. Kedua, faktor pertambahan bebanan trafik dan kenderaan berat lebih muatan yang melalui jalan.

 

“Ketiga, kerja pengorekan jalan yang dilakukan oleh pihak utiliti. Keempat, antara punca utama adanya pothholes adalah disebabkan air. Air adalah kegagalan utama pada sesuatu struktur,” katanya pada ketika menjawab soalan pertanyaan ADUN Tiram, Azizul Bachok pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, di sini, pada Khamis.

 

Mohamad Fazli berkata, tiga kaedah digunakan bagi kerja baik pulih kerosakan jalan raya di negeri ini, iaitu Cold In-Place Recycling’ (CIPR), ‘Hot In-Place Recycling’ (HIPR) dan Konkrit.

 

Ujarnya, selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) menggunakan perisian HDM-4 iaitu satu sistem yang membantu dalam mencadangkan kaedah pembaikan jalan.

 

“Sistem HDM-4 ini mengambil kira banyak faktor seperti nilai ‘International Roughness Index’ (IRI), kos serta ketahanan sesuatu kerosakan. Kemudian HDM-4 ini akan memberi cadangan jenis dan kaedah pembaikan serta tempoh masa bila jalan tersebut perlu diperbaiki.

 

“Nilai IRI yang berbeza antara setiap lorong laluan dan berbeza sepanjang jalan memberi indikasi bahawa setiap jalan yang rosak perlu diperbaiki menggunakan kaedah yang berbeza serta ada kerosakan yang boleh ditangguhkan pembaikannya,” katanya.

 

Mohamad Fazli memberikan komitmen rondaan audit sentiasa dilakukan melibatkan JKR Daerah dan konsesi bagi memantau keadaan jalan sebenar di tapak.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor