929 PENGUSAHA MOHON BANTUAN BENCANA BANJIR MAC LALU


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip menjawab soalan ADUN Bentayan, Ng Yak Howe dan ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng secara bersekali pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Kota Iskandar. | Foto ihsan MedKom

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 929 pemohon bantuan bencana banjir pada Mac lalu di seluruh negeri ini, direkodkan dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM17.7 juta.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip berkata, jumlah pemohon tersebut disahkan oleh Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan dan Lembaga Pertubuhan Peladang.

 

“Ianya merangkumi pengusaha-pengusaha subsektor tanaman agromakanan, subsektor penternakan, subsektor perikanan dan juga subsektor industri asas tani.

 

“Permohonan-permohonan ini telah dimajukan oleh jabatan atau agensi berkenaan kepada pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan dalam proses kelulusan menerusi peruntukan di bawah Tabung Bencana iaitu Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA),” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Bentayan, Ng Yak Howe dan ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng secara bersekali pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Kota Iskandar, pada Khamis.

 

Selain itu, Zahari turut memaklumkan seramai 431 pengusaha sektor pertanian dan 1 komuniti perikanan di negeri ini, yang terkesan bencana banjir untuk tahun lalu, sudah menerima bantuan dengan nilai RM2.5 juta.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor