36 KOPERASI JOHOR DISENARAIKAN ANTARA KOPERASI TERBAIK


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berucap pada Majlis Amanat Bersama Gerakan Koperasi Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat. | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Enam koperasi dari Negeri Johor tersenarai di dalam 100 koperasi terbaik Malaysia pada tahun lalu.

 

Manakala 30 lagi tersenarai sebagai ‘top 350’ koperasi terbaik daripada keseluruhan 15,315 koperasi di negara ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah mengucapkan tahniah dan syabas kepada 36 koperasi terbabit.

 

Beliau turut menyampaikan sijil kepada kesemua koperasi berkenaan sebagai pengiktirafan terhadap usaha dalam membangunkan ekonomi negara.

 

“Kejayaan koperasi-koperasi ini wajar dijadikan contoh teladan dan semangat kepada koperasi lain untuk terus berjaya dalam membangunkan ekonomi, sosial dan kebajikan terutama kepada anggota koperasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Bersama Gerakan Koperasi Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, dekat Johor Bahru, hari ini.

 

Dalam ucapan sama, Mohd Hairi menyeru supaya Gerakan Koperasi Negeri Johor terus berusaha untuk meningkatkan perolehan koperasi.

 

Ujarnya, seruan itu agar lebih banyak koperasi di negeri ini, akan tersenarai di dalam kategori indeks antara koperasi terbaik pada masa akan datang.

 

“Bagi melayakkan koperasi tersenarai di dalam indeks 100 koperasi terbaik, maka koperasi hendaklah mencapai tahap prestasi kewangan, perniagaan, pengurusan dan pematuhan perundangan yang memuaskan mengikut piawaian ditetapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

 

“Justeru, saya menyeru supaya Gerakan Koperasi Negeri Johor terus berusaha untuk meningkatkan perolehan koperasi agar lebih banyak koperasi dari Negeri Johor akan tersenarai di dalam kategori indeks 100 koperasi terbaik mahupun ‘top 350’ koperasi terbaik pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

 

Beliau juga memaklumkan jumlah aset keseluruhan dan nilai perolehan koperasi di Negeri Johor menunjukkan peningkatan pada tahun lalu.

 

“Jumlah aset keseluruhan koperasi pada tahun 2022 adalah sebanyak RM1.355 bilion, meningkat berbanding RM1.340 bilion pada tahun 2021.

 

“Nilai perolehan koperasi pada tahun 2022 pula berjumlah RM714.893 juta, meningkat 5.6 peratus berbanding RM677.146 juta pada tahun 2021.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor