LEBIH RM5 JUTA DIPERUNTUKKAN SELENGGARA LEBUHRAYA PASIR GUDANG


Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi mengadakan tinjauan perkembangan kerja naik taraf dan penyelenggaraan Lebuhraya Pasir Gudang, di sini, hari ini

PASIR GUDANG — Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan lebih RM5 juta bagi menyelenggara Lebuhraya Pasir Gudang FT17 demi keselesaan dan keselamatan pengguna.

 

Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya sudah mengagihkan RM107 juta bagi menaik taraf jalan-jalan di negeri ini, termasuk lebuh raya berkenaan.

 

“Memang kita sudah ambil kira semua untuk tahun ini. Kita dengar apa keperluan selebihnya daripada kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan perkembangan kerja naik taraf dan penyelenggaraan Lebuhraya Pasir Gudang, di sini, hari ini.

 

Projek yang telah diluluskan di bawah pelaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR) melibatkan kerja menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang daripada empat lorong kepada enam lorong terbahagi kepada Fasa 2B dan Fasa 3.

 

Fasa 2B melibatkan dari Persimpangan Bandar Seri Alam / Taman Rinting ke Persimpangan Pasir Gudang yang kini berada dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap pada Oktober 2025.

 

Manakala Fasa 3 membabitkan Persimpangan Bertingkat Perling hingga ke susur naik Lebuhraya Utara Selatan diluluskan di bawah Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Ke-12 dan kini di peringkat perancangan bagi pengesahan skop serta kos projek.

 

Selain itu, Alexander turut menzahirkan harapan projek terbabit mampu mengurangkan kesesakan apabila siap kelak, selain memberikan keselesaan dan keselamatan kepada pengguna.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor