IIB PRIHATIN NASIB MANGSA BANJIR SEGAMAT, MERSING


Sukarelawan Iskandar Investment Berhad (IIB) ceria terlibat dalam aktiviti pembersihan pasca banjir bagi meringankan beban mangsa | Sumber foto IIB.

 

ISKANDAR PUTERI — Iskandar Investment Berhad (IIB) melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya dengan menyumbang RM20,000 serta menghantar pasukan sukarelawan bagi aktiviti pembersihan pasca banjir.

 

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Dato’ Idzham Mohd Hashim berkata, pihaknya melaksanakan dua ‘Usaha Bantuan Banjir IIB’ di Segamat dan Mersing sebagai inisiatif meringankan beban mangsa banjir.

 

“IIB menyumbangkan dana kecemasan yang berjumlah RM20,000 untuk pembelian kotak penyimpanan makanan dan 100 unit kotak barangan keperluan makanan disumbangkan kepada mangsa banjir di daerah Segamat.

 

“IIB juga telah menghantar seramai 26 sukarelawan pada 9 Mac 2023 untuk berganding bahu bersama 20 sukarelawan dari Majlis Daerah Mersing dan Malaysian Relief Agency (MRA) serta Southern Volunteers (SV) melakukan aktiviti pembersihan pasca banjir bagi 16 buah rumah yang terjejas di Kampung Semaloi, dekat Endau,” kata beliau.

 

Idzham berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen IIB dalam menyokong agenda ke-11 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu Bandar dan Komuniti Lestari.

 

“Di IIB, kami merakamkan rasa simpati yang mendalam dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada mangsa dan keluarga mereka semasa bencana ini,” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor