4,500 BANGSA JOHOR MOHON BANTUAN PERUMAHAN KASIH JOHOR DALAM DUA HARI

Dalam tempoh dua hari sahaja iaitu Sabtu dan Ahad, lebih 4,500 Bangsa Johor hadir menghantar borang permohonan bagi mendapatkan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Johor menerusi inisiatif Perumahan Kasih Johor. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor

 

#IskandarPuteri – Golongan belia dan pasangan muda menjadi antara kumpulan yang paling ramai hadir mengemukakan permohonan Bantuan Perumahan Kasih Johor, sekali gus mencerminkan keperluan pemilikan kediaman yang semakin menjadi keutamaan dalam kalangan generasi muda di negeri ini.

 

Dalam tempoh dua hari sahaja iaitu Sabtu dan Ahad, lebih 4,500 Bangsa Johor hadir menghantar borang permohonan bagi mendapatkan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Johor menerusi inisiatif Perumahan Kasih Johor.

 

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 2,000 permohonan diterima pada hari pertama, manakala lebih 2,500 permohonan direkodkan pada hari kedua, sekali gus menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat terhadap program berkenaan.

 

Kehadiran ribuan Bangsa Johor sejak awal pagi hingga lewat petang membuktikan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Johor terus mendapat perhatian rakyat, khususnya mereka yang sedang merancang untuk memiliki kediaman sendiri atau memerlukan bantuan bagi mengurangkan beban kos perumahan.

 

Menerusi inisiatif Perumahan Kasih Johor, Kerajaan Negeri menyediakan Bantuan Beli Rumah Pertama bagi membantu pemilikan kediaman, Bantuan Masuk Rumah Pertama untuk meringankan kos permulaan berpindah ke rumah baharu serta Bantuan Sewa Rumah bagi membantu golongan yang masih menyewa mendapatkan tempat tinggal yang lebih selesa.

 

Selain golongan belia dan pasangan muda, program tersebut turut menerima penyertaan daripada ibu bapa serta pelbagai lapisan masyarakat yang melihat bantuan berkenaan sebagai peluang untuk meningkatkan taraf kehidupan dan kesejahteraan keluarga.

 

Bagi memastikan keselesaan pemohon, pelbagai kemudahan tambahan telah disediakan termasuk penambahan 500 kerusi, 6,000 botol air mineral, 10 balang air minuman, 1,500 pek roti serta 100 kotak Qulai Pizza, selain sokongan petugas dan kemudahan lain di lokasi program.

 

Sambutan luar biasa yang diterima membuktikan keperluan perumahan kekal menjadi antara agenda utama rakyat, sekali gus mengukuhkan komitmen Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan bagi membantu lebih ramai Bangsa Johor memiliki kediaman yang lebih selesa dan berkualiti.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, meninjau sendiri proses penerimaan permohonan serta kemudahan yang disediakan kepada pemohon sepanjang dua hari program berkenaan berlangsung.

 

#JohorSafeZone
#BangsaJohorSejahtera
#PerumahanKasihJohor
#RumahMampuMilikJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor