SEMANGAT DEEPAVALI, PERPADUAN BANGSA JOHOR TERUS MEKAR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi , Menteri Besar Johor, menyampaikan sampul duit Deepavali kepada kanak-kanak yang hadir memeriahkan Sambutan Deepavali Bangsa Johor 2026 di Taman Tampoi Indah | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Semangat perpaduan dan kebersamaan Bangsa Johor terus diperkukuh menerusi Sambutan Deepavali Bangsa Johor 2026 yang berlangsung di Jalan Titiwangsa, Taman Tampoi Indah, Ahad lalu, sekali gus menjadi antara platform terbaik dalam mengeratkan hubungan harmoni masyarakat berbilang kaum serta menyantuni kebajikan komuniti India di negeri ini.
Seluruh anggota masyarakat di negeri ini merupakan satu keluarga besar Bangsa Johor tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, selaras dengan semangat perpaduan yang telah lama menjadi identiti negeri sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Abu Bakar lagi.
Justeru, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk meneruskan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang berupaya memberi manfaat kepada rakyat, termasuk Bantuan Kasih Johor (BKJ), pengagihan Bakul Makanan sempena Deepavali serta program Jualan Kasih Johor yang menawarkan barangan keperluan pada harga berpatutan, jelas YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap isu dan keperluan masyarakat India yang masih belum diselesaikan perlu diberi perhatian sewajarnya serta ditangani secara bertanggungjawab bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan ekonomi Johor.
Dalam pada itu, lebih 1,000 pek Bakul Kasih telah diagihkan kepada penerima di kawasan Tampoi sebagai antara usaha membantu meringankan beban perbelanjaan isi rumah, khususnya menjelang sambutan perayaan Deepavali tidak lama lagi.
Selain itu, sebanyak 400 sampul duit Deepavali turut diedarkan kepada kanak-kanak yang hadir bagi memeriahkan sambutan perayaan berkenaan kali ini, sekali gus menyemarakkan suasana kegembiraan dan semangat berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi turut meluangkan masa menyantuni masyarakat India yang hadir pada Sambutan Deepavali Bangsa Johor 2026 berkenaan.
Turut hadir ialah YB Tuan P. Pannir Selvam, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor serta YB V. Rugendran, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.
#DeepavaliBangsaJohor
#BakulKasih
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


