6 INISIATIF STRATEGI PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN RESPONSIF


Pembentangan Belanjawan Johor 2023 oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Enam inisiatif diumumkan di bawah Strategi Penyampaian Perkhidmatan Yang Responsif dalam teras Tadbir Urus Kerajaan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif pertama adalah sumbangan kepada pegawai daerah.

“Dalam menghargai komitmen dan kesungguhan para Pegawai Daerah, kerajaan negeri bersetuju untuk meneruskan sumbangan keraian untuk meringankan beban kewangan pejabat-pejabat daerah dengan peruntukan sebanyak RM2 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023, hari ini.

Onn Hafiz berkata, inisiatif kedua adalah Rejuvenasi Perumahan Johor di mana tempoh kelulusan cadangan perumahan rakyat di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan dipendekkan daripada 99 kepada 45 hari sahaja.

“Kerajaan negeri akan melaksanakan program galakan pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) melalui penyelarasan harga rumah, caj gantian dan pindaan komposisi RMMJ di atas tanah kurang lima ekar.

“Sebagai respon kepada maklum balas rakyat dan pihak berkepentingan, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) telah melaksanakan perubahan drastik bagi menambahbaik dan memudahkan urusan mereka,” katanya.

Bagi inisiatif ketiga iaitu Kurniaan Tanah Kepada Generasi Kedua FELDA, beliau memberitahu Pentadbiran Tanah Negeri telah menyelesaikan 3,561 permohonan berkaitan tanah FELDA sejak tahun 2020 hingga 2022.

“Untuk tahun 2023, Pentadbiran Tanah Negeri Johor mensasarkan 4,000 permohonan kurniaan tanah bagi generasi kedua FELDA melibatkan 15 rancangan FELDA di Johor diselesaikan,” katanya.

Selain itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan melanjutkan inisiatif membolehkan permohonan pengenaan syarat nyata tanah diluluskan dalam tempoh tujuh hari bekerja bagi permohonan ubahsyarat biasa dalam inisiatif keempat iaitu Fast Track Nil 3.0.

“Inisiatif kelima ialah Kebenaran Pindahmilik Rumah Kos Rendah di mana kerajaan negeri bersetuju agar kebenaran pindahmilik tersebut hanya perlu diperolehi daripada PKPJ sahaja.

“Inisiatif keenam ialah Pengecualian Fi Bagi Mendaftarkan Pindahmilik Melalui Perintah Hibah Sesama Ahli Keluarga di mana kerajaan negeri bersetuju memberi pengecualian penuh bayaran pendaftaran Borang 14A (Kanun Tanah Negara) bagi transaksi pindahmilik tersebut,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor