PROGRAM PENGAJIAN PHD, SARJANA PENJAWAT AWAM JOHOR DITERUSKAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Program pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan Sarjana serta pelbagai program melahirkan ‘subject matter experts’ di kalangan penjawat awam Johor akan diteruskan pada tahun hadapan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sejumlah RM6 juta diperuntukkan bagi tujuan tersebut.

“Kerajaan negeri juga akan memperluaskan jaringan kolaborasi di peringkat global bagi memperkayakan pengetahuan, kompetensi kemahiran dan pengalaman dalam kalangan penjawat awam,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023, hari ini.

Program Inisiatif Memperkasa Kepakaran Penjawat Awam di bawah Strategi Meningkatkan Kompetensi Perkhidmatan Awam dan Modal Insan bagi teras Tadbir Urus Kerajaan itu diteruskan berdasarkan rantaian kejayaan membanggakan penjawat awam Johor dalam bidang akademik.

Onn Hafiz berkata, sepanjang tahun ini, lebih 30 program berjaya dilaksanakan bersama sembilan rakan kerjasama strategik Akademik JCS.

Ujar beliau, antara pencapaian paling membanggakan adalah penganugerahan Ijazah PhD dalam bidang Pentadbiran dan Pembangunan Tanah daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kepada YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor.

“Pastinya kejayaan yang dicapai oleh YB Tan Sri selaku Ketua Perkhidmatan Awam Negeri akan menjadi tauladan dan inspirasi kepada seluruh penjawat awam di Negeri Johor.

“Ini terbukti apabila pencapaian ini diteruskan oleh tiga orang pegawai JCS yang turut berjaya menamatkan pengajian Ijazah PhD. Mereka ialah YB Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman, Dr. Amirul Haffiz Ariff dan Dr. Mohd Shahrizan Sahid,” katanya.

Menteri Besar Johor turut mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada 25 graduan Sarjana Sains Kaunseling Universiti Utara Malaysia (UUM) terdiri daripada pegawai JCS serta pegawai pengurusan dan profesional Pejabat SUK.

“Selain itu, dua pegawai JCS iaitu Fayzul Omar dan Syed Aminuddin Syed Salleh juga sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di Nanyang Technological University (NTU) dan National University of Singapore (NUS) di bawah tajaan Kerajaan Singapura,” katanya.

Di bawah strategi yang sama, beliau turut mengumumkan peruntukan bagi dua inisiatif lagi iaitu Kemahiran Teknologi Digital Data Raya serta Meningkatkan Profesionalisme Institusi Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor