4 PBT TINGKAT PENYELARASAN, KERJASAMA STRATEGIK


Bagi merealisasikan agenda Greater JB, empat PBT akan meningkatkan penyelarasan dan kerjasama strategik | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan meningkatkan penyelarasan dan kerjasama strategik ke arah pemantapan sistem tadbir urus cekap dan berkesan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia bagi merealisasikan agenda Memperhebat Johor Bahru (Greater JB) di bawah Strategi Memperhebat Johor Bahru, teras Tadbir Urus Kerajaan.

Menurut beliau, empat PBT tersebut adalah Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Kulai.

“Bagi menterjemahkan aspirasi ini, sebanyak 148 pelan tindakan telah dirangka untuk dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh lima tahun bermula tahun hadapan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023, semalam.

Sementara itu, empat inisiatif diumumkan di bawah Strategi Memperkukuh Integriti dan Menaiktaraf Sistem Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan, teras Tadbir Urus Kerajaan.

Ujar beliau, inisiatif pertama ialah Media Digital Johor di mana penubuhan jabatan tersebut merupakan cetusan DYAM Tunku Mahkota Johor sebagai pusat setempat bagi menyampaikan berita sahih dan dipercayai kepada rakyat.

“Ini termasuk hal berkaitan dasar dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan institusi DiRaja. Sebanyak Rm7.6 juta diperuntukkan bagi pengoperasian Media Digital Johor pada tahun 2023.

“Inisiatif kedua ialah Pendigitalan Sekolah Agama Kerajaan Johor. Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan sebanyak RM400,000 bagi pemasangan Wi-Fi di 140 sekolah agama Kerajaan Johor.

“Inisiatif ketiga adalah Masyarakat Johor Berinformasi dan Berbudaya Digital. Menerusi ICT@Johor, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM7.2 juta bagi membiayai pembangunan sistem baharu dan menyelenggara sistem sedia ada,” katanya.

Sementara itu, inisiatif keempat adalah Pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah.

“Kerajaan negeri akan melaksanakan pensijilan MS ISO Anti-Bribery Management Systems di jabatan serta agensi kerajaan negeri dengan peruntukan sebanyak RM100,000,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor