715 PELAYANG SERTAI FLLSPG 2023
PASIR GUDANG — Seramai 715 peserta dari 145 pasukan menyertai Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) Kali Ke-25 2023 yang berlangsung di Bukit Layang-Layang di sini, sejak semalam sehingga 26 Februari ini.
Ia termasuk penyertaan 109 peserta antarabangsa dari 40 negara yang turut mengambil bahagian pada FLLSPG 2023 yang turut menyambut sambutan Jubli Perak pada tahun ini.
Presiden Majlis Pelayang Malaysia (MPM), Dato’ A Rahim Nin, berkata FLLSPG 2023 ini adalah anjuran Persatuan Pelayang Johor (PPJ), MPM, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang kini memasuki usia 25 tahun penganjurannya.
Katanya, FLLSPG 2023 ini yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Pasir Gudang (PGTA), Tourism Johor, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Johor (JKNNJ) juga unik kerana turut menyambut sambutan Jubli Perak.
“Selepas tiga tahun tidak diadakan bermula pada 2020 hingga 2021 akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, FLLSPG kini dianjurkan semula dengan tema ‘Layangkasa Dinamik’.
“Pada FLLSPG kali ini juga kita menerima penyertaan 109 pelayang antarabangsa dari 40 negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Singapura, Filipina, Austria, Repulik Czech, Ireland, Itali dan Scotland.
“Turut mengambil bahagian ialah peserta dari Jepun, Korea Selatan, China, Australia, New Zealand, Tahiti, Peranchis, England, Jerman, India, Amerika Syarikat, Poland, Portugal, Taiwan, Belanda, Ireland Utara, Thailand, Turki, Ukraine, Vietnam, Nepal dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Kenyataan Media sempena FLLSPG Kali Ke-25 2023 di Bukit Layang-Layang di sini, hari ini.
Selain pasukan antarabangsa, FLLSPG 2023 turut menerima penyertaan dari 13 pasukan Kebangsaan, Rokkaku Koporat (29 pasukan), Komuniti 24 Zon Pasir Gudang (29 pasukan) dan Politeknik Malaysia (30 pasukan).
A Rahim berkata, pihaknya menjangkakan seramai 350,000 peserta khususnya peminat layang-layang dari dalam dan luar negara akan berkunjung ke FLLSPG 2023 kali ini.
Katanya, selain itu FLLSPG 2023 ini juga dianjurkan secara kolaborasi tiga lokasi Festival Layang-Layang iaitu di Satun, Thailand yang berlangsung pada 16 hingga 19 Februari lalu diikuti FLLSPG (22 hingga 26 Februari) dan Kabong, Sarawak yang akan diadakan pada 1 hingga 6 Mac ini.
“FLLSPG 2023 akan dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi di Bukit Layang-Layang pada 25 Februari ini manakala Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah FLLSPG akan diadakan pada Ahad ini di Grand Ballroom Amansari Residence Resort, Seri Alam.
“Selain itu, FLLSPG 2023 turut diserikan dengan pelbagai acara menarik yang lain seperti persembahan kesenian dan kebudayaan, bengkel membuat wau, mencari harta karun, persembahan bunga api, pertandingan Malaykite laga, gerai jualan dan banyak lagi,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor