79 PEMPAMER AGENSI KERAJAAN NEGERI TERLIBAT DALAM ROADSHOW OGSE


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah hadir merasmikan Johor Oil and Gas Services and Equipment (OGSE) Roadshow 2023 selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 79 pempamer agensi Kerajaan Negeri berkaitan industri minyak dan gas menyertai siri jelajah pertama Johor Oil and Gas Services and Equipment (OGSE) Roadshow 2023 di Pusat Konvensyen Persada Johor di sini, hari ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah, berkata siri jelajah pertama bagi tahun ini menyaksikan Johor dipilih sebagai negeri pertama untuk memberi pendedahan kepada 200 peserta yang terdiri daripada pemain industri minyak dan gas dalam Rangka Tindakan Nasional OGSE 2021-2030.

 

Beliau yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, selain menjadi tuan rumah kepada hampir 200 syarikat OGSE, keterlibatan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga menjadi tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.

 

“Meskipun syarikat-syarikat tempatan ini menunjukkan prestasi yang baik dalam persekitaran OGSE, kita seharusnya sedar akan trajektori industri minyak dan gas ke arah peralihan tenaga sebagai tindak balas kepada isu perubahan iklim.

 

“Mengambil kira situasi ini, industri dan perkhidmatan sokongan perlu mencari cara baharu untuk menghasilkan serta menggunakan tenaga dengan fokus kepada tenaga bersih serta boleh diperbaharui,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya.

 

Mohd Hairi berkata, selain itu sektor Sumber Manusia juga menjadi elemen penting yang diberi penekanan dalam industri minyak dan gas selain pemakluman informasi yang saya lihat penting untuk dihebahkan kepada masyarakat.

 

“InsyaAllah, saya sendiri yang melihat setiap booth pameran kerana merasakan inisiatif ini satu pendekatan yang baik bagi mendedahkan serta menyalurkan informasi maklumat berguna kepada khususnya berkaitan portfolio pembangunan usahawan iaitu PKS OGSE di Johor supaya mereka lebih terbuka serta mengetahui peluang serta ruang sedia ada bagi menambah baik perniagaan mereka.

 

“Saya harap, pihak penganjur Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) dengan kerjasama Johor Petroleum Development Corp Bhd (JPDC) dapat meneruskan insiatif seperti, malah ke peringkat akar umbi di kawasan-kawasan kampung khususnya agar masyarakat dan rakyat lebih telus serta mendapat pelbagai informasi berguna berkaitan industri minyak dan gas khususnya di Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor