PPR ULU TIRAM SIAP UNTUK DIDIAMI


Delegasi Kerajaan Negeri yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor meninjau Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ulu Tiram, baru-baru ini.

 

ISKANDAR PUTERI — Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ulu Tiram yang mengalami kelewatan siap selama 23 bulan akhirnya siap untuk didiami pada tahun ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, berkata Kerajaan Negeri akan berusaha memastikan PPR Ulu Tiram dapat ditawarkan kepada rakyat untuk didiami dalam tempoh terdekat.

 

“PPR ini mengalami kelewatan selama 23 bulan disebabkan atas faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan faktor teknikal yang berlaku sebelum ini.

 

“Semua agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat sedang berusaha memastikan PPR ini dapat ditawarkan sewaan segera kepada rakyat pada tahun ini juga,” tulisnya di laman Facebook rasminya selepas mengadakan lawatan ke PPR Ulu Tiram, kelmarin.

 

Tambah Mohd Jafni, kepimpinan Kerajaan Negeri di bawah urus tadbir Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sentiasa berusaha memastikan Johor mempunyai tawaran rumah dalam pelbagai bentuk demi kesejahteraan semua lapisan masyarakat di negeri ini.

 

“InsyaAllah selain PPR Ulu Tiram, akan ada lagi PPR yang akan siap untuk ditawarkan kepada rakyat. Kerajaan Negeri juga akan berusaha untuk memperbanyakkan skim PPR ini di Negeri Johor kelak,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor