IBU BAPA PUAS HATI PERKEMBANGAN ANAK DI AKADEMI JDT


Akademi JDT merupakan salah satu projek pembangunan diilhamkan oleh pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim. | Foto MDJ, Bayu Anggara

 

KULAI — Komitmen Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menggilap dan melahirkan lebih ramai pemain bola sepak berkualiti melalui Akademi JDT menerima maklum balas positif daripada ibu bapa.

 

Kebanyakan ibu bapa menzahirkan rasa berpuas hati terhadap perkembangan anak masing-masing yang terpilih sebagai pelatih di akademi berkenaan.

 

Mohd Azlan Mohd Nor, 46 berkata, penglibatan anaknya Muhammad Hilmi Farish, 17, yang bermain di posisi tengah bersama akademi menunjukkan peningkatan sangat ketara. | Foto MDJ, Imran Razib

Bagi Mohd Azlan Mohd Nor, 46 berkata, penglibatan anaknya Muhammad Hilmi Farish, 17, yang bermain di posisi tengah bersama akademi menunjukkan peningkatan sangat ketara.

 

Jurulatih selam dari Pulau Tioman itu memberitahu perkembangan yang ditunjukkan oleh anaknya turut seiring dengan bidang akademik sejak menyertai Akademi JDT pada usia 10 tahun.

 

“Dalam Akademi JDT ini, dari segi akademiknya memang terjaga dengan rapi. Ada kelas fardu ain disediakan..memang sangat-sangat terjaga sama dengan budak-budak sekolah biasa yang lain.

 

“Kalau ada subjek yang mereka kurang mahir, akan ada kelas tambahan untuk pastikan mereka lulus. Penekanan juga diberi kepada subjek Bahasa Inggeris kerana kita tahu, rata-rata jurulatih adalah dari luar negara,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

 

 

Mohd Azlan turut berpesan agar para ibu bapa memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada anak yang menyerlah dan berbakat di dalam sukan bola sepak serta bercita-cita untuk menyarung jersi JDT.

 

“Bukan senang nak masuk..tetapi bila dah masuk, masa depan mereka akan terjamin. DYAM Tunku Ismail pun tekankan akademik, Sebagai contoh ada kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menyambung pelajaran di peringkat Diploma Sains Sukan.

 

“Baginda Tunku Ismail adalah satu-satunya individu yang fokus membangunkan bola sepak khususnya melalui pembangunan akademi seperti ini,” tambahnya.

 

Norlela Jamaludin, 46, berkata, Akademi JDT telah memberi ruang kepada anaknya, Muhammad Haziq Aiman berusia 17 tahun untuk berlatih bersama-sama skuad senior. | Foto MDJ, Imran Razib

Sementara itu, Norlela Jamaludin, 46, berkata, Akademi JDT telah memberi ruang kepada anaknya, Muhammad Haziq Aiman berusia 17 tahun untuk berlatih bersama-sama skuad senior.

 

“Sangat-sangat teruja dan bangga bila Haziq dapat berlatih dengan abang-abang senior di dalam skuad utama lebih-lebih lagi dia boleh belajar dengan lebih mendalam bersama penjaga gol utama seperti Farizal Marlias dan Syihan Hazmi.

 

“Apa yang boleh saya katakan, Akademi JDT sangat berbeza dengan akademi lain kerana mereka betul-betul pantau bukan saja prestasi permainan tetapi juga akademik. Saya amat berpuas hati dan bangga dengan anak saya,” katanya.

 

Akademi JDT merupakan salah satu projek pembangunan diilhamkan oleh pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

 

 

Untuk rekod, Akademi JDT menjadi akademi bola sepak pertama di Malaysia dianugerahkan Ahli Emas Piagam SupaRimau oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2020 atas usaha memperkasakan program bola sepak di peringkat akar umbi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor