MENTERI BESAR KONGSI 3 PENGAJARAN BERHARGA KEPADA BELIA
Persidangan Belia Antarabangasa Johor (JIYC) anjuran Institut Dato’ Onn (IDO) berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, menjadi platform merangsang pemikiran dan berkongsi idea dalam mencetuskan perubahan yang akan memacu negara ke arah masa depan yang sejahtera.
Dengan bertemakan ‘Memangkinkan Perubahan : Kepimpinan Belia dan Perubahan Mampan, persidangan dihadiri lebih 500 Orang Muda Johor dan belia dari pelbagai negara ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang turut berkongsikan tiga pengajaran berharga diraih dalam hidupnya.
“Pertama, apabila keadaan sukar, berada pada di titik paling rendah dalam hidup anda, perkara yang paling penting ialah PERCAYA PADA DIRI ANDA. Kedua, tiada jalan pintas dalam kehidupan. Jika anda BEKERJA KERAS, saya percaya anda semua boleh mencapai hasil yang anda inginkan dalam hidup. Pengajaran terakhir, saya sedar jika anda ingin mencapai sesuatu yang hebat dalam hidup, mesti BEKERJA BERPASUKAN,” kata beliau dalam ucapannya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, Kerajaan Negeri amat mengiktiraf peranan signifikan belia dalam pembangunan negeri, malah pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan bagi memperkasa, memartabat dan mengaktifkan Orang muda Johor.
“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap potensi dan keupayaan anda. Saya amat percaya bahawa anda adalah penggerak di sebalik masa depan yang lebih cerah untuk negeri kita. Anda adalah tonggak di mana Johor berdiri pada hari ini,” katanya.
Persidangan selama dua hari yang menampilkan penceramah jemputan dari dalam mahupun luar negara menghimpunkan belia-belia dengan objektif memperkasa kepimpinan, memberikan pendidikan mengenai topik penting serta membuka ruang menjalinkan rangkaian kepada pemimpin muda.
Penasihat Belia Johor yang juga Ahli Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Kuasa Kepimpinan Belia: Memperkasa Generasi Akan Datang’ yang menyentuh kepada beberapa cabaran semasa antaranya perubahan iklim, kebolehpasaran, kesihatan, pendidikan dan media sosial.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Dato’ Mohammad Ridha Abd Kadir; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ On Jabbar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Dato’ Mohd Noorazam Osman serta Pengarah Institut Dato’ Onn, Mohd Gadaffie Abd Aziz.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor