JABATAN PERTANIAN NEGERI JOHOR GARISKAN USAHA TINGKAT HASIL PADI


Jabatan Pertanian Negeri Johor menggariskan lima usaha yang perlu dilaksanakan bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi selaras dengan hasrat Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam menangani isu bekalan beras putih tempatan (BRT) yang menjadi cabaran pada masa kini. | Foto MDJ, Liyana Iwana

 

KERAJAAN Johor sememangnya memiliki perancangan menjadikan kawasan tanaman padi sedia ada di negeri ini, sebagai tumpuan dalam meningkatkan hasil pengeluaran selain mewujudkan kawasan sawah baharu bagi menjayakan agenda Periuk Nasi Selatan agar dapat menyumbang kepada kestabilan sekuriti makanan untuk tempoh jangka masa panjang.

 

Bagi menyokong agenda tersebut, Jabatan Pertanian Negeri Johor menggariskan lima usaha yang perlu dilaksanakan bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi selaras dengan hasrat Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam menangani isu bekalan beras putih tempatan (BRT) yang menjadi cabaran pada masa kini.

 

“Antara usaha yang sedang dirancang ialah menyediakan kemudahan infrastruktur dan penggunaan teknologi pertanian moden, menaik taraf sistem saliran dan pengairan yang lengkap dan menyeluruh serta membangun kawasan terbiar di bawah kawasan skim sawah secara optimum untuk meningkatkan produktiviti padi,” kata Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor, Yosri Mohd.

 

Beliau turut berkongsi cadangan pelaksanaan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) melibatkan kerjasama pihak swasta dan pengusaha tanaman padi bagi memastikan pengurusan sawah yang lebih tersusun untuk meningkat produktiviti dan pendapatan golongan berkenaan.

 

“Selain itu, pemindahan dan penggunaan teknologi terkini dalam sektor tanaman padi juga akan menarik minat pemilik tanah dalam kalangan generasi muda yang berpotensi menguruskan tanaman dengan lebih cekap dan mampu menyumbang kepada peningkatan hasil padi,” tambahnya.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor