PEMBERIAN GERAN TANAH LEGAKAN PENEROKA FELDA


Ketua Kampung Felda Ulu Tebrau, Abdul Jalil Sahlan bersyukur dengan inisiatif kerajaan dalam pemberian geran tanah kepada peneroka di kawasan itu. | Foto MDJ NurulHuda.

 

Oleh Suhana Mohd Ariffin

“Saya sebagai salah seorang penduduk di tanah rancangan Felda sememangnya amat bersyukur dengan inisiatif kerajaan dalam pemberian geran tanah kepada peneroka di kawasan ini,” kata Abdul Jalil Sahlan.

 

Beliau yang juga Ketua Kampung Felda Ulu Tebrau memberitahu, ia secara tidak langsung memberikan kelegaan, keselesaan dan juga kegembiraan kepadanya sekeluarga sebagaimana penduduk lain yang turut mendapat manfaat yang sama daripada pihak kerajaan.

 

“Saya sebagai penduduk felda berasa amat bersyukur dengan adanya tanah yang diberi oleh pihak terbabit, oleh itu, kami dapat memiliki dan membangunkan rumah di tanah tersebut. Inisiatif kerajaan dalam memberikan geran tanah bagi tujuan kebun sawit atau tapak rumah kepada peneroka sangat membantu terutama untuk generasi yang akan datang,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

 

Sehingga kini, seramai 19,002 peneroka sudah menerima geran tanah manakala 7,766 lagi menerima tanah generasi Felda membabitkan kawasan pentadbiran Felda Wilayah Johor Bahru dan Segamat. Pada pembentangan Belanjawan Johor 2023 yang lalu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut mengumumkan sasaran 4,000 permohonan kurniaan tanah bagi generasi kedua Felda membabitkan 15 tanah rancangan itu di seluruh Johor.

 

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Bukit Aping Timur, Zakariah Mahmod pula berharap pihak kerajaan akan terus meneliti proses pemilihan tanah perlu dilakukan secara lebih efisien supaya tiada isu permohonan yang gagal.

 

“Alhamdulillah, inisiatif yang disediakan oleh kerajaan ini sememangnya memberikan kelegaan kepada peneroka terutama sekali kepada mereka yang sudah mengusahakan tanah rancangan ini sejak dari awal lagi. Ia secara tidak langsung membuatkan soal kebajikan kami terbela,” katanya.

 

Bagi Penduduk Felda Ulu Tebrau, Nora Wasirun pula berkata, selain pemberian geran tanah, pihaknya berharap kerajaan turut memberikan sedikit perhatian mengenai pembangunan prasarana di kawasan terbabit terutama dari sudut jalan raya, bekalan elektrik dan air yang masih berada pada tahap sederhana.

 

#TriviaBajetJohor2023
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor