PINGAT CEMERLANG BOMBA JADI PEMBAKAR SEMANGAT


Penolong Peguasa Bomba Ahmad Syahir Din Osman dari Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Negeri Johor dan Pegawai Bomba Rosnilyana Atong dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin menerima pengiktirafan Pingat Cemerlang Bomba (PCB). | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Pingat Cemerlang Bomba (PCB) diterima dua pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Johor ketika Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan pada bulan lalu, menjadi pembakar semangat untuk terus menabur bakti kepada masyarakat.

 

Penolong Peguasa Bomba Ahmad Syahir Din Osman dari Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Negeri Johor dan Pegawai Bomba Rosnilyana Atong dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin menerima pengiktirafan itu atas kejayaan di Kejohanan World Police and Fire Games (WPFG) 2023, di Winnipeg, Kanada.

 

Ahmad Syahir, 28, yang menyumbang dua pingat perak menerusi acara ‘push and pull’ (Powerlifting) kategori bawah 93 kilogram akui tidak menyangka menerima pingat berkenaan meskipun baru berkhidmat selama lima tahun bersama jabatan.

 

Ketika kejohanan tersebut, beliau yang kini sedang melanjutkan pengajian separuh masa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berjaya menepati sasaran untuk sekurang-kurangnya berada di atas podium dalam penampilan sulung di peringkat antarabangsa.

 

Bagi Rosnilyana, 31, pula yang mewakili negara buat kali kedua dalam WPFG 2023 berjaya menyumbang dua pingat perak dan dua pingat gangsa dalam sukan dart turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan yang diraih.

 

Selain itu, beliau turut memaklumkan kecenderungan bekerja secara lasak mendorong dirinya berkhidmat sebagai ‘Wira Merah’ malah menasihatkan golongan wanita yang mahu menceburi kerjaya tersebut supaya mempunyai mental dan fizikal yang kuat dan tidak mudah putus asa.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor