ASAL USUL NAMA DAERAH DI JOHOR


 

Oleh Setiausaha Kehormat, Persatuan Sejarah Malaysia, Cawangan Negeri Johor, Haji Kamdi Kamil.

 

Budaya masyarakat Melayu dahulu menamakan sesuatu tempat berdasarkan nama tumbuh-tumbuhan, haiwan, objek, peristiwa dan nama seseorang tokoh. Johor memiliki 10 daerah dan asal-usul nama daerah itu berbeza-beza. Terdapat daerah yang menggunakan nama haiwan, pokok, peristiwa dan lokasi.

 

JOHOR BAHRU 

 

Berasal dari peristiwa penyerahan pemerintahan Johor kecuali Kesang oleh Sultan Ali kepada Temenggung Ibrahim pada 10 Mac 1855. Temenggung Ibrahim bercita-cita untuk membuat satu pusat pentadbiran yang kuat dan hebat bagi menggantikan pusat pentadbiran sedia ada di Teluk Belanga, Singapura. Baginda yang diiringi pembesar-pembesar berusaha mencari kawasan yang sesuai untuk dijadikan bandar dan pusat pentadbiran. Baginda memudiki kuala Sungai Segget lalu mendarat di Bukit Tanjung Puteri. Di situlah baginda mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai Bandar Iskandar Puteri. Pada 1 Januari 1866, nama bandar ini ditukar kepada Johor Bahru oleh Temenggung Abu Bakar Seri Maharaja. Ia bersempena dengan kewujudan Kerajaan Johor Lama yang terletak di sepanjang Sungai Johor. Oleh sebab itu, ia diberikan nama Johor Bahru.

 

KOTA TINGGI 

 

Berasal daripada nama kota yang dibina di kawasan tinggi di tebing Sungai Johor. Pembinaan kota tersebut bertujuan untuk menangkis serangan Portugis dan Acheh yang berusaha untuk melenyapkan Kesultanan Melayu pada abad ke -16 dan 17. Mengikut sejarah, terdapat tujuh buah kota pertahanan atau pusat pemerintahan Sultan-Sultan Johor yang terletak di sepanjang persisiran Sungai Johor iaitu Kota Kara (1528); Kota Sayong (1536); Kota Batu, Johor Lama (1540); Kota Seluyut (1564); Kota Batu Sawar (1587); Kota Tauhid (1623) dan Kota Panchor (1699).

 

PONTIAN

 

Dahulunya dikenali sebagai Kukup. Nama Pontian muncul apabila lanun-lanun menjadikan kuala sungai di kawasan tersebut sebagai ‘tempat perhentian’ yang kemudiannya disebut secara ringkas oleh masyarakat menjadi Pontian. Pontian bukan sahaja menjadi kawasan perhentian lanun-lanun malah turut menjadi tempat persinggahan dan perhentian perahu-perahu nelayan serta tongkang-tongkang dari Sumatera sejak dahulu lagi.

 

KULAI

 

Berasal daripada perkataan Tengku Lai yang dipanggil oleh masyarakat tempatan pada ketika itu. Ia membawa maksud ‘Tengku datang’ sama ada untuk mengutip cukai mahupun berburu. Menurut catatan sejarah lain, nama Kulai adalah daripada panggilan ‘Gu Lai’ yang bermaksud kedatangan kura-kura. Apabila tiba musim hujan, kedua-dua tebing Sungai Kulai akan dilanda banjir. Akibatnya, berpuluh-puluh ekor kura-kura akan muncul di tebing dan bergerak menghala ke pekan. Kemunculan luar biasa kura-kura inilah yang menyebabkan masyarakat Cina Hainan memanggil tempat ini sebagai Gu Lai. Bukti ini boleh dilihat pada catatan sebuah batu yang dipahat dalam bahasa Cina di Stesen Keretapi Kulai. Disebabkan kesukaran untuk menulis perkataan Gu Lai dalam bahasa Cina, maka namanya telah ditukar kepada Kulai dan terus kekal sehingga ke hari ini.

 

BATU PAHAT

 

Menurut Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang, nama Batu Pahat diambil bersempena dengan kisah tentera Siam yang diketuai Panglima Awi Di Chu memahat batu untuk mencari air minuman di Pantai Minyak Beku. Pahatan itu menghasilkan takungan air. Tentera Siam ketika itu sedang dalam persediaan untuk menyerang Melaka pada tahun 1456. Dikatakan sejak itu ramai pelayar singgah di takungan air tersebut sehingga ia diberi nama Perigi Batu Pahat. Menurut Hikayat Abdullah pula, nama Batu Pahat adalah berkaitan dengan kegiatan Portugis yang memahat bongkah-bongkah batu untuk mendirikan Kota A Famosa di Melaka pada abad ke-14.

 

KLUANG

 

Pada asalnya adalah berdasarkan spesies kelawar besar yang hidup dan terbang pada waktu malam untuk mencari makanan. Ia dikenali sebagai Keluang atau Malayan Flying Fox. Ada sebuah cerita mengisahkan bahawa terdapat banyak binatang yang menyerang kebun buah-buahan sehingga memanggil dukun untuk menghalaunya. Daripada nama haiwan tersebut akhirnya muncul nama daerah Kluang.

 

TANGKAK

 

Berasal daripada perkataan ‘tang merangkak’ yang bermaksud perbuatan ‘datang merangkak’. Ia dilakukan oleh seorang peneroka iaitu Long Mahmud bersama tujuh saudaranya yang naik ke tebing Sungai Tangkak menuju Bukit Tambak. Oleh sebab itu, ia disebut sebagai Tangkak.

 

MUAR

 

Berasal daripada perkataan ‘muara’, sebuah sungai yang bersejarah di kawasan itu iaitu Sungai Muar. Pendapat lain mengatakan bahawa Muar itu diambil daripada perkataan ‘muara’. Dalam bahasa Sunda bermaksud ‘kuala sungai yang luas’. Pada zaman dahulu, terdapat ramai pedagang dari Sumatera datang ke pantai barat Semenanjung Tanah Melayu. Mereka datang ke kuala yang terbuka luas lantas menamakan Sungai Muara. Bagi memudahkan sebutan Sungai Muara, mereka menyebut ‘Muar’ sahaja.

 

SEGAMAT 

 

Berasal dari peristiwa Bendahara Paduka Tuan Tepok Bersama para pengikutnya yang telah berundur ke Johor setelah kejatuhan Melaka ke tangan Portugis, Bendahara dan para pengikutnya telah berhenti berehat di suatu lubuk sungai dan meminum air sungai tersebut. Setelah meminumnya, beliau berkata “segar amat badanku ini!” dan seterusnya menamakan sungai tersebut sebagai Segar Amat. Namun, lama-kelamaan sebutannya berubah menjadi Segamat yang akhirnya digunakan untuk menjadi nama sebuah daerah sehingga kini.

 

MERSING

 

Diambil namanya bersempena dengan nama pokok Mersinga atau Mesinga. Pokok ini mempunyai nama saintifiknya iaitu Carallia Brachiata. Ia seakan sama dengan pokok Merpuing yang banyak tumbuh di kawasan pantai laut. Pokok Mersinga ini unik kerana apabila ditiup angin daripada Laut China Selatan, ia akan menghasilkan bunyi yang gemersik.