TMIYC MAMPU BINA GENERASI BELIA SIHAT
Oleh Dr. Noraishah Daud
Pembangunan fizikal, emosi, mental, resilien dan hubungan sosial menjadi antara elemen campuran yang berjaya diterjemahkan dalam satu entiti iaitu Tunku Mahkota Ismail Youth Centre atau lebih diterkenal dengan nama singkatannya iaitu TMIYC.
Malah, pembangunan TMIYC yang menjadi antara gagasan yang diilhamkan sendiri oleh DYAM Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail ini juga secara tidak langsung dapat membantu usaha pengembangan karekter, minat dan bakat sekali gus membina golongan muda Johor yang lebih berketerampilan dan bersahsiah diri.
TMIYC yang dibangunkan dalam Negeri Johor ini adalah suatu usaha murni yang disediakan khas untuk generasi remaja dan belia masa kini. Tumpuan utama dalam TMIYC iaitu pembangunan fizikal dan pembangunan insan dilihat dapat memberi manfaat kepada Orang Muda Johor di seluruh Negeri Johor.
Pembangunan fizikal yang meliputi kemudahan sukan dan rekreasi memiliki potensi besar untuk membentuk remaja yang sihat secara fizikal, emosi dan mental. Remaja masa kini lebih terdedah kepada teknologi yang mana ia secara tidak langsung sebenarnya telah menghadkan pergerakan fizikal mereka.
Justeru, aktiviti fizikal melalui sukan dan rekreasi dapat menjadikan seseorang remaja itu sebagai individu yang kuat fizikal dan berdaya tahan. Melalui kegiatan rekreasi ini juga, golongan remaja dapat meningkatkan fleksibiliti dan keterampilan diri mereka. Kegiatan fizikal seumpama ini juga membantu meningkatkan rasa percaya pada diri dan harga diri remaja melalui pencapaian diri atau keupayaan melalui cabaran dalam aktiviti lasak dan rekreasi.
Selain itu, melibatkan diri dalam kegiatan sukan dan rekreasi dapat membantu remaja mengurus stres dengan cara yang sihat. Aktiviti fizikal membantu dalam pelepasan hormon endorfin yang lebih dikenali sebagai ‘hormon gembira’. Hormon ini dapat meningkatkan rasa gembira, ceria dan mengurangkan stres. Aktiviti fizikal juga melibatkan interaksi sosial dan di sinilah remaja dapat meluaskan lingkaran sosial mereka secara positif, membina persahabatan dan memperolehi kemahiran bersosial untuk kesihatan emosi mereka.
Aktiviti fizikal yang sihat terbukti meningkatkan fungsi kognitif termasuk memperbaiki daya ingatan, konsentrasi dan kebolehan menyelesaikan masalah. Melibatkan diri dalam aktiviti fizikal memerlukan strategi dan taktik dan ini dapat melatih remaja untuk lebih kritis dalam berfikir dan mampu membuat keputusan yang kreatif. Aktiviti fizikal juga mengajar remaja untuk menerima kegagalan dan kejayaan dengan baik.
Aktiviti sukan dan rekreasi tidak hanya memberikan manfaat fizikal sahaja tetapi juga membantu membentuk remaja yang sihat secara emosi dan mental. Ini sangat penting dalam membantu remaja menghadapi tekanan dan cabaran yang datang sepanjang mereka melalui proses perkembangan diri.
Pembangunan insan adalah suatu usaha yang holistik dalam membentuk remaja mencapai potensi yang maksima dalam pelbagai aspek kehidupan. Pembangunan insan untuk remaja adalah untuk membantu remaja menjadi individu yang sihat fizikal, emosi, mental, sosial dan kerohanian. Berikut adalah beberapa aspek yang perlu dipertimbangkan dalam pembangunan insan untuk remaja.
Resilien / Daya Tahan
Remaja kini berada di dunia tanpa sempadan dan terdedah dengan pelbagai bentuk maklumat. Kebolehan menapis maklumat yang betul memerlukan daya ketahanan. Membentuk remaja yang memiliki sifat resilien atau berdaya tahan adalah suatu proses yang penting dalam pembangunan insan remaja. Resilien merujuk kepada kemampuan individu untuk beradaptasi, bangkit dan berkembang positif meskipun mereka menghadapi tekanan, cabaran atau kejadian trauma dalam hidup mereka.
Hubungan Sosial
Remaja berpeluang membina hubungan sosial yang sihat bersama keluarga, rakan sebaya dan masyarakat. Selain itu ia mendidik remaja, teknik komunikasi yang efektif dan menunjukkan empati dalam berinteraksi dengan orang lain. Remaja belajar untuk mempunyai rasa peduli atau endah dengan lingkungan mereka semasa aktiviti dan cuba membentuk lingkungan yang positif.
Pengembangan Karakter
Melalui aktiviti dan latihan dapat membina nilai-nilai moral yang positif dalam diri remaja seperti nilai integriti, empati, rasa tanggungjawab dan kerjasama. Remaja juga berpeluang mengembangkan keterampilan kepimpinan, keserakanan dan belajar mengurus konflik.
Pengembangan Minat dan Bakat
Penglibatan dalam aktiviti pembangunan diri akan mendorong remaja untuk mengeksplorasi minat dan bakat mereka. Pengembangan minat dan bakat remaja bertujuan untuk membantu mereka menemukan dan mengembangkan potensi unik mereka dalam bidang-bidang tertentu.
Membina generasi Y dan Z merupakan proses yang berlanjutan dan memerlukan usaha dari pelbagai pihak. Usaha mewujudkan TMIYC adalah suatu permulaan yang bijak untuk generasi berkenaan. Dengan usaha murni ini diharapkan generasi ini dapat menjadi agen perubahan yang positif dalam masyarakat dan menyumbangkan sesuatu yang bererti dalam masa depan negara dan Negeri Johor.
(Penulis adalah Pengarah Pusat Kaunseling Universiti, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia)
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor